fbpx

[VIDEO] Sebutan kes Muhammad Sanusi berlangsung pagi ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengamal media sedang menunggu ketibaan Muhammad Sanusi bagi prosiding sebutan kes pukul 9 pagi ini di Mahkamah Sesyen/Majistret Selayang.

SELAYANG – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dijangka tiba di Mahkamah Sesyen dan Majistret Selayang pagi ini bagi sebutan kes berhubung kenyataan yang didakwa mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besarnya awal Julai lalu.

Tinjauan Kosmo! mendapati petugas media mula berkumpul di pekarangan mahkamah sejak pukul 7.30 pagi namun tiada kelibat penyokong dilihat setakat ini.

Terdahulu pada 18 Julai lalu, Kosmo! melaporkan Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menghasut dalam satu ceramah.

Muhammad Sanusi, 48, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Hakim Osman Affendi Mohd. Shalleh.

Mengikut pertuduhan kedua-dua pertuduhan itu, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Kesalahan itu dilakukan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara di sini pukul 11 malam pada 11 Julai lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Muhammad Sanusi didakwa mengikut perenggan 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh manakala peguam Datuk Shaharudin Ali dan Wan Rohimi Wan Daud bertindak sebagai peguam Muhammad Sanusi.

Kedua-dua mahkamah kemudian membenarkan Muhammad Sanusi diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu dengan dua penjamin yang berlainan dan tertuduh tidak dibenarkan membuat sebarang hantaran sehingga kes selesai. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI