fbpx
SITI NURHALIZA

Impian galeri seni, reda nikmat ‘suara emas’ Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEHIDUPAN figura ternama negara ini selayaknya dilihat cukup sempurna. Dikurniakan rupa paras jelita, vokal tiada tolok bandingan, keluarga bahagia bersama suami dan dua orang anak, kekayaan melimpah-ruah semuanya itu impian semua yang hanya dimiliki Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Namanya tidak perlu diperkenalkan lagi sebagai ‘aset’ kesayangan negara yang sukar untuk dicari ganti.

Datanglah bakat muda baharu mewarnai industri, kedudukan penyanyi itu sedikit pun tidak berganjak, malah terus kukuh mengekalkan gelarannya sebagai penyanyi nombor satu negara.

Masih ingat lagi bagaimana polosnya kehadiran penyanyi dan usahawan itu bertapak sebagai anak seni, sekitar 27 tahun dahulu.

KETIKA penyanyi lain risau mahu mengeluarkan album dalam bentuk fizikal atas faktor semasa, Siti enggan mengecewakan peminat apabila hadir dengan album fizikal ke-20, Sitism yang mengandungi 12 lagu baharu. 

Gaun ikonik merah menyala dengan suara nyaring, namun merdu suara menjadi tuah buat Siti selepas menjuarai pertandingan Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI) pada 1995, sekali gus menjadi titik permulaan bergelar artis.

Bermula saat itu, satu persatu pencapaian membanggakan bukan sahaja buat diri sendiri, namun juga untuk negara diraih pada peringkat antarabangsa.
Dia selayaknya digelar ‘The Living Legend’ atas suksesnya sebagai anak seni.

Galeri peribadi

Apa lagi yang mahu diraih penghibur kesayangan ramai ini? Selepas mengecapi segala nikmat yang diberikan Tuhan, ada satu lagi impian Siti yang belum terlaksana.

“Saya mahu mempunyai galeri sendiri untuk diabadikan sebagai ingatan dan kenangan manis,” begitu luah penyanyi berdagu lekuk itu.

Kata Siti, dia bercita-cita untuk membuka sebuah galeri peribadi kerana mahu menyumbang sesuatu kepada masyarakat dengan menjadikan pengalaman serta kejayaan yang diraih sebagai sumber inspirasi.

Ujar ‘permaisuri’ kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu, idea membuka sebuah galeri peribadi sudah lama difikirkan, namun masih dalam perbincangan.

SEJAK album Sitism dilancar secara digital pada Jun lalu, album tersebut telah mendapat lebih daripada 1.6 juta penstriman.

“Idea untuk wujudkan galeri seni ini sudah lama saya fikirkan. Malah saya pernah suarakan hasrat tersebut kepada kak Rozi (pengurusnya).

“Namun, impian tersebut masih dalam peringkat perancangan dan belum dibincangkan secara serius. Lokasi galeri itu pun masih tidak pasti. Sama ada di kampung kelahiran (Kuala Lipis) atau Kuala Lumpur,” katanya.

Bukan untuk membangga diri, namun hasrat pelantun Nirmala itu, sekurang-kurangnya masyarakat boleh mengenali dirinya secara dekat dan mengikut perjalanan karier seninya sehingga hari ini.

“Dengan adanya galeri itu nanti, peminat boleh mengenali saya secara peribadi selain menelusuri perjalanan karier serta pengalaman yang pernah saya lalui.

“Apa yang akan dipamerkan dalam galeri itu nanti semuanya berkaitan fakta serta koleksi barangan yang membawa kejayaan saya hari ini,” jelasnya yang mahu membuka galeri tersebut atas inisiatif sendiri.

Selepas mengharungi pelbagai onak duri, pahit dan manis bergelar penghibur, Siti turut berkongsi rasa teruja apabila tampil dengan album sulungnya yang ke-20, sekali gus mengukir senyuman buat peminat yang merindui ‘hadiah’ tersebut.

Reda

Kongsi Siti, perjalanannya untuk menzahirkan album ke-20, Sitism tidak semudah seperti karya terdahulu. Kali ini, dia berdepan pelbagai masalah, terutama dari segi kesihatan.

Umum pengetahuan, Siti berdepan masalah peti suara apabila vokalnya tiba-tiba berubah menjadi kasar dan serak selepas dijangkiti Covid-19 sehingga hampir membuatkan beliau berputus asa.

“Sebagai penyanyi, suara itu adalah satu aset. Sejujurnya, saya rasa ‘down’ bila nak siapkan album Sitism kerana mengalami masalah peti suara.

“Sampai satu tahap, saya reda jika Allah SWT nak ‘tarik’ sedikit bakat (suara) saya gara-gara mengalami masalah peti suara berpanjangan sejak Ramadan lalu.

“Memang lama sangat nak pulih (suara). Tapi saya reda kerana pada usia saya sekarang yang sudah menjangkau 40-an, suara saya nak kasar ke, serak ke, saya okey sahaja.

“Saya akan menyanyi ikut kemampuan dan sentiasa berfikiran positif,” ujarnya.

IMPIAN penyanyi yang layak digelar ‘diva’ ini adalah untuk membuka sebuah galeri peribadi supaya dapat berkongsi pengalaman dan kisah sepanjang bergelar anak seni agar menjadi inspirasi kepada masyarakat.

Gara-gara masalah peti suara yang dialaminya, Siti terpaksa mengambil masa selama sekitar tiga bulan untuk menyelesaikan proses rakaman lagu album terbaharunya.

Bahkan, Siti juga sempat memohon doa di hadapan Kaabah sewaktu menunaikan umrah ketika Ramadan lalu agar diberikan kesembuhan segera.

“Risau juga. Saya pun sudah berjumpa pakar dan doktor berkali-kali. Sehinggakan saya ambil kesempatan berdoa di hadapan Kaabah ketika menunaikan umrah pada Ramadan lalu supaya diberikan kesembuhan segera.

“Nak sihat sepenuhnya memang ambil masa yang lama juga.

“Alhamdulillah keadaan saya kini beransur pulih dan saya bersyukur. Namun saya kena sentiasa beringat supaya menjaga kesihatan,” ujarnya.

Kemampuan diri

Pada masa sama, Siti enggan terlalu serius memikirkan kata-kata netizen apabila ada yang membandingkan suaranya sudah tidak lagi selunak dahulu.

Siti sebaliknya sentiasa positif dan bersyukur dengan apa jua kurniaan Allah kepadanya.

“Memang ada peminat bercakap tentang perubahan suara saya. Tapi saya sentiasa positif.

“Apa yang Allah nak beri, dia akan beri. Kalau Allah nak tarik (nikmat), dia akan tarik.

“Apa-apa pun, saya sentiasa bersyukur dan positif sahaja dengan kemampuan diri.

“Album ini (Sitism) pun saya hasilkan dengan semampunya,” tutup Siti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN