fbpx

Mahkamah: Saya makan ubat 10 tablet sehari, antipsikotik dan sakit jantung – Yasin Sulaiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yasin Sulaiman

PETALING JAYA – Penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman yang diperintah membela diri atas tiga pertuduhan dadah mengesahkan sedang makan 10 tablet sehari merangkumi beberapa jenis ubat.

Yasin Sulaiman atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 48, berkata, antara ubat itu adalah antipsikotik, penyakit jantung, stabilkan emosi dan kegelisahan.

“Saya bergantung kepada ubat yang banyak. Sebenarnya saya kena sambung rawatan balik di Tanjung Rambutan (Hospital Bahagia Ulu Kinta). Proses mahkamah ini mengambil masa lebih daripada yang dijangka, saya kena habiskan proses mahkamah dan harap ia habis dengan baik.

“Harapnya saya akan dapat pulang segera ke Tanjung Rambutan untuk habiskan rawatan,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding bela diri di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Terdahulu Hakim Faiz Dziyauddin memerintahkan Yasin membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie diakhir pendakwaan terhadap ketiga-tiga pertuduhan dadah tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama yang baharu, Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu (2022).

Bagi kesalahan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan ketiga Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI