fbpx

Pergaduhan pemain dan pengadil tidak selesaikan masalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEAKAN sudah menjadi kebia­saan di Malaysia, sesuatu kejadian seakan berlaku secara bermusim dan topik serangan terhadap pengadil seakan menjadi isu hangat sepanjang September hingga mencetuskan perdebatan peminat sukan tempatan.

Bulan lalu saja, tiga insiden serangan terhadap pengadil berlaku membabitkan perlawanan futsal dan satu lagi terjadi di pertandingan tempatan di Ipoh selepas pemain dan jurulatih pasukan didakwa tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.

Bagi kes di padang futsal, dapat dilihat pengadil bertugas menerima jurus ‘Ong Bak’ dari belakang, manakala di Pe­rak menyaksikan adegan kejar mengejar.

Jika itu boleh dikatakan berlaku di peringkat amatur, ‘penyakit’ baran tidak bertempat seakan merebak ke pertandingan bola sepak tertinggi negara dan juaranya pastinya terarah kepada kes babitkan pertahanan import Selangor, Yazan Al-Arab yang menyepak pengadil selepas dilayangkan kad merah.

Di sebalik peranan sebagai hakim di lapangan, entah apa puncanya pengadil yang begitu sinonim dengan gelaran ‘Si Baju Hitam’ seakan tidak lagi dihormati dan rentetan insiden kali ini turut membangkitkan persoalan tentang sejauh mana aspek kese­lamatan mampu terjamin.

Sama ada di peringkat Persa­tuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), langkah drastik harus diambil bagi mengelak impak lebih buruk kepada imej bola sepak negara.

Usaha menambah baik kualiti pengadil perlu bagi mengelak ke­silapan yang mampu mengun­dang rasa kurang senang kepada pemain, jurulatih atau penyokong.

Bukan bermaksud untuk berpihak kepada keluhan peminat, pengadil harus meminimumkan kesilapan. Kesilapan di pihak pengadil memberi kesan kepada industri khususnya dalam aspek jumlah kehadiran penonton ke stadium, tahap kompetitif pertandingan dan lebih bahaya berdepan risiko rusuhan.

Pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 24 September lalu, turut tular gambar menunjukkan cermin belakang sebuah kereta yang dipercayai milik pengadil perlawanan, Mohd. Hasrol Mohd. Amir pecah.

Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor, Mohd. Faizal Wahid berkata, situasi semasa pasti akan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong termasuk dirinya.

“Kasihan pemain tetapi kalau bab tindakan Yazan, ia memang salah. Sekarang sudah melampau sampaikan nak tentukan ba­lingan ke dalam pun masih ragu, jadi sekarang guna lima pengadil pun tidak banyak membantu.

“Sekarang sudah ada pemain berani sepak pengadil, jangan biarkan penyokong pula bertindak luar kawalan kerana akibatnya cukup besar dan akan susahkan semua orang. Jadi jangan sampai ada penyokong mengamuk dan ada yang mula muak untuk datang ke stadium,” katanya.

Pengendalian Video Bantuan Pengadil (VAR) bolehlah dianggap ‘talian hayat’ kepada pengadil untuk kurangkan kesilapan, namun MFL sudah jelaskan segalanya bergantung kepada pengadil itu sendiri untuk membuat sebarang ketetapan

“VAR memberi kita nilai tambah kepada keputusan pengadil sedia ada dan kita tahu pengadil tertakluk kepada kritikan. VAR bukanlah jalan penyelesaian segalanya kerana pertikaian masih ada di liga terkemuka dunia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Rama­lingam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN