PETALING JAYA – Biarpun baru berusia 13 tahun dan masih bersekolah, seorang remaja berjaya membuktikan dia mampu meraih pendapatan mencecah lima angka sebulan dengan hanya menggunakan media sosial.
Pendapatan itu diperoleh menerusi paid review atau kandungan berbayar selain aktiviti permainan secara maya.
Aliana Mohd. Zain, 40-an, berkata, anak perempuannya, Aunie Basyerah Mohd. Azaki, 16, menghasilkan klip video bagi kandungan berbayar sejak remaja itu berusia 13 tahun pada tahun 2020 ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
“Ketika wabak Covid-19 melanda, Aunie tidak dapat ke sekolah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi kami mengisi masa lapang dengan menghasilkan video review produk makanan dan pakaian.
“Sejak itu akaun Instagram Aunie semakin aktif dan pengikutnya mula bertambah. Saya nampak potensi anak sebagai pencipta kandungan.
“Banyak syarikat dan pengusaha tidak dapat menjual produk mereka secara fizikal, jadi mereka menggunakan medium media sosial seperti Facebook dan Instagram untuk melariskan jualan.
“Peluang ini kami gunakan sebaik-baiknya dengan menawarkan perkhidmatan kandungan berbayar kepada pengusaha untuk dipasarkan secara dalam talian,” katanya.
Jelasnya, sewaktu PKP, Aunie yang kini mempunyai lebih 150,000 pengikut di Instagram mampu menjana pendapatan lebih RM50,000 sebulan, namun jumlah itu berkurangan selepas remaja itu kembali ke sekolah.
Menurut wanita itu, ketika ini, aktiviti tersebut diteruskan anaknya pada hujung minggu dengan menghasilkan empat atau lima video sebulan. Setiap video tersebut dikenakan caj RM2,500 hingga RM3,000.
Aliana yang menetap di Machang, Kelantan berkata, dia mula membuka akaun Instagram Aunie sejak remaja itu berusia lapan tahun memandangkan anaknya aktif menari selepas menyertai kelab tarian di sekolahnya.
Tambahnya, rezeki yang diperoleh Aunie dengan dibantu kakaknya itu membolehkan mereka sekeluarga hidup selesa.
“Jika dahulu, kami hanya menyewa sebuah rumah teres, tetapi kini mampu membina sebuah banglo yang berharga lebih RM400,000,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi remaja, Ahmad Afiq Isyafiq Mohd. Radzi, 17, pula memberitahu, dia pernah mengumpul pendapatan sehingga RM35,000 dalam masa dua tahun dengan penglibatan sebagai gamer.
Katanya, pendapatan yang diperoleh itu adalah hasil kerjaya sebagai pengulas beberapa acara sukan secara dalam talian.
“Saya tidak pandai bermain ‘game’, sebenarnya saya adalah pengulas permainan tersebut yang dibuat secara langsung. Platform media sosial yang saya gunakan adalah Facebook, YouTube serta TikTok. Saya menyasarkan rakan-rakan sebaya sebagai penonton.
“Alhamdulillah, dengan pendapatan yang saya peroleh selama ini saya boleh memiliki sebuah motosikal idaman iaitu Yamaha R15 yang baru sahaja dibeli kira-kira dua bulan lalu,” katanya.
















