DITUBUHKAN pada tahun 1946, agensi penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini sudah pun berusia 77 tahun.
Dalam tempoh yang boleh dianggap penuh kematangan itu, JPJ telah melalui pelbagai transformasi dan cabaran.
Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Rospiagos Taha dalam membincangkan tentang transformasi JPJ sejak penubuhannya optimis dalam mencapai visi jabatan tersebut untuk menjadi organisasi pengurusan penguatkuasaan pengangkutan jalan bertaraf dunia.
Rospiagos yang mula memegang jawatan Ketua Pengarah jabatan itu sejak Jun lalu berkata, pelbagai cabaran serta rintangan telah dihadapi bagi mematangkan entiti tersebut demi menjaga keselamatan orang awam, khususnya pengguna jalan raya dalam tempoh lebih tujuh dekad itu.
“Sebagai warga baharu JPJ, saya berasa sangat kagum dan menghargai perubahan-perubahan yang telah dibuat dan kejayaan-kejayaan yang dicapai JPJ sejak penubuhannya sehingga kini.
“JPJ telah menempa nama sebagai salah sebuah agensi penguat kuasa undang-undang dan peraturan jalan raya terunggul di negara ini. JPJ telah memperoleh pelbagai anugerah dan pengiktirafan oleh agensi pusat dan masyarakat termasuklah anugerah terkini iaitu Anugerah Integriti Governans dan Antirasuah (AIGA) 2022-Anugerah Gangsa AIGA 2022,” katanya.
Jelas Rospiagos, bagi mendepani cabaran semasa serta kehendak masa hadapan, jabatan ini telah melaksanakan pelbagai perubahan positif dalam aspek kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Ini termasuklah penambahbaikan akta, memperkemas peraturan dan kaedah, memudahkan tata cara serta prosedur dan bergerak seiring arus perdana pendigital perkhidmatan. Semua inisiatif dan pendekatan termoden ini dilaksanakan demi memastikan kepuasan pelanggan serta aspirasi stakeholders dipenuhi.
“Perkara ini selari dengan visi jabatan untuk menjadi organisasi pengurusan penguatkuasaan pengangkutan jalan bertaraf dunia. Jabatan ini akan terus komited melakukan yang terbaik sesuai dengan slogan ‘mesra, cekap dan telus’,” ungkapnya.

Tekad Rospiagos, JPJ juga akan meneruskan misi memastikan keadaan kenderaan yang menggunakan jalan raya berada pada tahap terbaik dan pengguna jalan raya mempunyai sikap positif serta berhemah dalam pemanduan.
Terangnya, pelbagai pembaharuan telah dilaksanakan demi kemudahan dan keselesaan pengguna jalan raya termasuk kemudahan kios serta kenderaan JPJ Mobile di tempat yang strategik di samping menawarkan perkhidmatan dalam talian dan aplikasi MyJPJ.
“Pada ketika ini, jabatan telah memperkenalkan satu inovasi baharu bagi memperkemas dan menambah baik perkhidmatan penyampaian sedia ada, melalui perkongsian informasi terkini kepada masyarakat secara digital, merangkumi Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM), Lesen Kenderaan Motor Digital (e-LKM) dan urusan Pelesenan Kenderaan, Pelesenan Pemandu serta Semakan Saman JPJ di mana ia boleh diakses di hujung jari menerusi Portal JPJ dan aplikasi MyJPJ.
“Kejayaan besar yang diraih selama ini dicapai melalui ketegasan penguatkuasaan dan jaminan penyampaian perkhidmatan yang cekap, berintegriti dan mengoptimumkan teknologi digital terkini bagi memenuhi keperluan pelanggan dan negara,” ujarnya.
Sebagai misi ke depan katanya, JPJ Malaysia sentiasa berusaha mencari idea-idea baharu untuk bergerak seiring dengan peningkatan teknologi terkini.
Selain melaksanakan penguatkuasaan, JPJ juga telah menubuhkan Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia (APJM) sejak tahun 2002 dan melahirkan ratusan kadet yang akhirnya menjadi penguat kuasa.
Ujar Rospiagos, akademi itu dibina bertujuan melahirkan pegawai penguat kuasa yang memiliki nilai murni, berilmu dan berkemahiran mengenai tugasan menerusi Kursus Asas.
“Kursus Asas yang dikendalikan sepenuhnya di akademi ini merupakan kursus wajib sebagai persediaan kepada pegawai dan anggota dalam memastikan kualiti dan profesionalisme anggota penguat kuasa sepanjang perkhidmatan.
“Bagi merealisaikan hasrat ini, pelbagai bentuk pengisian telah diperkenalkan termasuk latihan kawad yang berupaya membentuk disiplin, kerja berpasukan, semangat setia kawan dan ketahanan fizikal serta mental dalam mendepani cabaran sepanjang penugasan kelak.
“Selain ketahanan fizikal dan mental, para pelatih diterap dengan nilai-nilai murni termasuk kerohanian bagi merealisasikan kemantapan spiritual dan keagamaan dalam menempuhi alam pekerjaan,” ujarnya.

Tambahnya, para pelatih turut mengikuti program-program penghayatan kepada sikap membenci rasuah dengan mengadakan kerjasama strategik bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kata Rospiagos, APJM merupakan Pusat Bertauliah untuk ke arah Pusat Kecemerlangan Sektor Pengangkutan Darat bagi Pelaksanaan Program-Program Pembangunan Profesionalisme di bawah Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2030, justeru ia menyediakan platform menerusi Program Diploma Eksekutif Pengurusan Penguatkuasaan dan Pendakwaan (DEPPP) bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Program ini disasarkan sehingga lima tahun atau lima kohort iaitu dari tahun 2019 sehingga 2024. Setiap kohort melibatkan 30 orang pelajar yang mana keseluruhannya melibatkan 150 orang pelajar selama lima tahun.
“Kos pengajian ditanggung sepenuhnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan tenaga pengajarnya pula terdiri daripada pensyarah-pensyarah UiTM,” ujarnya.
Setakat tahun 2023, pegawai Pengangkutan Jalan (PPJ) yang telah ikuti DEPPP adalah seramai 143 orang pegawai terdiri daripada empat kohort.
Bagi kohort pertama hingga tiga sesi pengajian telah tamat dan kini mereka sedang berkhidmat di penempatan masing-masing. Kohort empat bakal menamatkan pengajian pada Mac 2024 dan kohort lima akan memulakan pembelajaran pada 2 Oktober ini.
Lebih membanggakan, akademi itu telah meluaskan elemen modal insan dengan pengambilan bagi program Ijazah Sarjana (masters) bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Program Pengajian Sarjana Sains Sosial Polis Pengangkutan, Logistik dan Penguatkuasaan.
Selaras dengan Pelan Strategik Modal Insan JPJ 2019-2025 dan Memorandum Persefahaman (MoU) JPJ bersama UKM, JPJ berpegang pada inspirasi untuk mendayaupayakan sumber manusia bagi melahirkan modal insan berkompetensi tinggi, berpersonaliti unggul dan mampu memacu penyampaian perkhidmatan ke arah berprestasi tinggi.
Bercakap tentang kemudahan yang disediakan bagi program memperkasa kakitangan JPJ, Rospiagos berkata, JPJ melalui APJM sentiasa menambah baik kemudahan dari semasa ke semasa dengan satu litar latihan ujian memandu telah dibina di akademi itu dengan kos sebanyak RM2.3 juta.
“Tujuannya untuk melaksanakan kursus atau latihan berkaitan kemahiran pemanduan supaya dijalankan dengan lebih teratur, selamat dan tersusun. Selain itu, litar itu juga mengikut reka bentuk berdasarkan piawaian dan dapat dijadikan rujukan dan contoh kepada pengusaha-pengusaha Institut Memandu,” ujarnya.
Kata anak kelahiran Skudai, Johor itu, modal insan adalah cukup penting dalam sesebuah organisasi meliputi aspek seperti latihan, pengalaman, pendidikan, kesihatan dan sebagainya.
“Saya yakin dengan adanya akademi JPJ yang merancang, mengurus dan melaksana latihan-latihan berkualiti membangunkan pegawai-pegawai JPJ yang berpengetahuan, berkemahiran dan berintegriti,” ujarnya.
Rospiagos turut menyampaikan mandatnya kepada seluruh warga JPJ dalam mencapai prestasi cemerlang.
“Berteraskan konsep Madani, JPJ perlulah bersifat selari sebagai ikhtiar dalam memetakan strategi bagi mentadbir jabatan ini dengan berkesan, seterusnya memperkukuh aspek kualiti penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
“Konsep digunakan adalah R.T.D yang mana R bermaksud Rancang dan Runding, T (Tunjuk dan Teladan), manakala D (Didik dan Damping).
“Konsep kedua pula adalah K.I.T.A iaitu ‘Kebersamaan Ini Tiada Akhirnya’ dan ‘Kukuhkan Ikatan Tingkatkan Amanah’ yang menekankan pentingnya kebersamaan dalam menjalankan tugas dalam kepelbagaian latar belakang skim, pangkat, kenegerian, pendidikan dan sebagainya,” jelasnya.
Rospiagos menekankan bahawa JPJ perlu bersatu padu dalam menjalankan tugas secara harmoni antara semua pihak dari peringkat atasan hingga bawahan dan memainkan peranan penting bagi merealisasikan apa yang dirancang.














