fbpx

Dewan Negara: Buka balik Kedutaan di Iraq bagi jalin kerjasama perdagangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Alamin ketika menggulung perbahasan sidang khas Dewan Negara Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) di Parlimen, hari ini.

PETALING JAYA – Langkah mengoperasikan semula Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Baghdad, Iraq adalah untuk meneruskan hubungan diplomatik serta jalinan kerjasama perdagangan antara kedua-dua negara.

Ini kerana kata, Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin, Iraq merupakan rakan dagangan Malaysia yang keenam terbesar dan sumber import ketujuh terbesar dari kalangan negara-negara Asia Barat.

Dengan wujudnya Kedutaan Besar Malaysia di Baghdad itu katanya, maka usaha-usaha meningkatkan jalinan perniagaan dan perdagangan dapat diselaraskan dan direalisasikan.

Malah tambah beliau, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) juga merupakan antara pelaburan Malaysia di Baghdad dengan nilai berbilion ringgit.

“Selain kepentingan Malaysia dengan Petronas antara justifikasi untuk membuka semula perwakilan di Baghdad ialah untuk meningkatkan hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Republik Iraq.

“Oleh yang demikian, hubungan baik antara pimpinan kedua-dua negara diharapkan akan mempermudahkan proses ini,” katanya ketika menggulung perbahasan sidang khas Dewan Negara Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) di Parlimen, hari ini.

Dalam pada, Mohamad memberitahu, semasa lawatan rasmi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pada Ogos lalu, Kerajaan Iraq telah mengundang Malaysia untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran bagi proses pembanguna negara itu.

Katanya, Kerajaan Iraq sendiri telah mempelawa Malaysia untuk mengambil bahagian dalam projek-projek pembangunan semula yang akan dilaksanakan di negara tersebut.

“Antara lainnya, termasuklah penyertaan syarikat-syarikat Malaysia dalam projek infrastruktur, kerjasama ekonomi, pendidikan, pelancongan, pengurusan lapangan terbang, sistem jalan raya dan sistem pengurusan air.

“Dalam erti kata lain, fasa pembangunan semula Iraq membuka peluang kepada Malaysia untuk melebarluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang yang baharu,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, Kerajaan membuat keputusan untuk membuka semula Kedutaan Besar Malaysia di Baghdad, Iraq selepas lebih 20 tahun ditutup bermula Mac 2003 ekoran pergolakan dalaman di negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia’ Al Sudani dalam satu pertemuan di New York, Amerika Syarikat (AS) sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-78 minggu lalu.

Jelas Anwar, dalam pertemuan itu juga, mereka bersetuju supaya Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) Ke-9 antara Malaysia dan Iraq yang telah tertangguh sekian lama bersidang semula dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI