KETIKA memegang rotan yang telah siap diraut, Ichau Miden, 63, kemudian membentuknya menjadi sebentuk cincin.
Dengan kemahiran yang dia miliki, cincin yang dihasilkan daripada rotan itu dibentuk dalam tempoh kurang seminit.
“Dari muda lagi saya sudah menghasilkan produk-produk seni dan kraf tangan berasaskan rotan.
“Antara produk yang boleh dihasilkan dengan menggunakan rotan termasuk beg rotan, tikar rotan, rantai rotan, gelang rotan dan lain-lain,” katanya kepada K2.
Tambahnya, menghasilkan produk-produk kraf tangan berasaskan rotan tidak terlalu sukar terutamanya buat mereka yang sudah mahir.
Kongsinya, apa yang penting, seseorang itu perlu sentiasa menghasilkan produk sedemikian dan lama-kelamaan dia pasti mahir.
Dalam pada itu, Ichau menjelaskan, proses paling sukar untuk menghasilkan produk-produk berkenaan adalah mendapatkan rotan itu sendiri.
“Bagi mendapatkan rotan ini kita perlu masuk ke dalam hutan untuk mencarinya sebelum dibawa keluar.
“Kemudian, kita perlu membuang duri-duri dan menjemurnya bagi memastikan rotan-rotan ini benar-benar kering. Kemudian, ia diraut dengan pisau untuk menghaluskannya.
“Selain itu, ada rotan-rotan ini akan dimasak dengan menggunakan daun kayu dan tanah bagi mendapatkan warna dimahukan sebelum produk-produk rotan dihasilkan,” jelasnya.

di pusat beli-belah GMBB, Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam pada itu, Vivie Sumantie Siman, 25, tidak melepaskan peluang untuk belajar menghasilkan produk-produk berasaskan rotan daripada neneknya, Inchau.
Menurutnya, rotan telah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakatnya dan dia perlu belajar bagi memastikan warisan nenek moyang terpelihara.
“Untuk belajar menghasilkan produk kraf tangan daripada rotan ini tidaklah terlalu sukar. Hasil tunjuk ajar nenek, saya boleh menguasainya.
“Namun begitu, ada juga beberapa bahagian yang sukar, antaranya adalah untuk membentuk anyaman rotan bercorak,” terangnya.
Ichau dan Vivien baru-baru ini berkesempatan mengadakan satu bengkel penghasilan produk berasaskan rotan di pusat beli-belah GMBB, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Bengkel itu diadakan sempena pameran rotan bersama masyarakat suku Ukit atau Bhuket yang dianjurkan oleh pihak Canvas Art.
Mereka berdua merupakan sebahagian daripada masyarakat Ukit yang berasal dari Uma Ukit, Sungai Asap Koyan, Belaga, Sarawak.
Sementara itu, Ketua Masyarakat Ukit, Ngarit Lijap menjelaskan, mereka merupakan orang asal Sarawak dan berada di sana sebelum era James Brooke lagi.
Menurutnya, suku berkenaan sebenarnya berasal dari Kalimantan, Indonesia.

Ujarnya, selepas berlaku keadaan tidak tenteram dan perbalahan antara suku, mereka berhijrah ke Sarawak.
“Kami hidup secara berpindah-randah dan kami berasal dari Kalimantan sebelum berhijrah ke Ulu Baleh, Batang Rajang.
“Kemudian, kami pindah pergi ke Kapit, Belaga dan Ulu Sungai Batang Rajang yang kini menjadi tapak projek Hidro Bakun.
“Setelah kawasan itu dibangunkan untuk projek tersebut, kerajaan pindahkan kami di penempatan baharu yang kami diami kini di Belaga,” katanya.
Dalam pada itu, Ngarit menjelaskan, rumah panjang yang mereka diami ada seramai 580 orang daripada 73 keluarga atau pintu rumah panjang.
Ujarnya, mereka merupakan golongan minoriti di Sarawak dan ramai tidak mengetahui akan kewujudan suku Ukit.
“Kebiasaannya, orang bandar akan mengenali dan menyebut kami sebagai Orang Ulu.
“Di dalam Orang Ulu itu ada beberapa etnik merangkumi Kayan, Kenyah, Lahanan dan lain-lain lagi.
“Kami suku Ukit adalah salah satu etnik minoriti yang juga dikenali sebagai Orang Ulu,” terangnya.
Berbicara tentang agama mereka, Ngarit menjelaskan, suku Ukit mengamalkan kepercayaan agama Kristian.
Sebelum menganut Kristian, mereka percaya kepada benda-benda seperti patung, kayu dan batu.
Namun sejak 1960-an, mereka mula melibatkan diri dengan Kristian apabila ada orang mula menyebarkannya kepada suku Ukit.
Dalam pada itu, punca pendapatan suku Ukit adalah penanaman padi bukit.
Selain itu, mereka masuk ke dalam hutan mencari binatang-binatang untuk dimakan dan dijual.
Dalam masa sama, mereka juga menghasilkan produk berasaskan rotan untuk dijual secara kecil-kecilan.
Sementara itu, Ngarit menjelaskan, suku Ukit amat sinonim dengan produk kraf tangan berasaskan rotan.
Menurutnya, rotan telah menjadi sebahagian daripada kehidupan suku Ukit dan digunakan oleh moyang mereka sejak dahulu lagi.
“Rotan ini mempunyai banyak kegunaan dan digunakan oleh moyang kami sejak sekian lama.
“Dahulu, rotan-rotan ini digunakan untuk menghasilkan beg bagi membolehkan hasil-hasil hutan dibawa keluar.
“Selain itu, rotan ini digunakan untuk menghasilkan pondok yang menjadi tempat berehat di dalam hutan,” terangnya.
Seiring peredaran masa, suku Ukit kini telah mempelbagaikan penggunaan rotan dan mereka menghasilkan banyak produk-produk kraf tangan.
Selain menghasilkan produk kraf tangan, mereka juga menggunakan rotan untuk dijadikan bangku serta hiasan seni untuk dinding rumah panjang.
Dalam pada itu, Ngarit menjelaskan, dia amat gembira apabila pihak Canvas Art sudi menganjurkan pameran seni berkaitan suku Ukit.
Terangnya, melalui pameran itu, ia sedikit sebanyak dapat memperkenalkan suku Ukit kepada masyarakat luar.
“Suku kami terkenal dengan produk-produk kraf tangan berasaskan rotan dan melalui pameran ini kami berpeluang menunjukkannya kepada orang ramai.
“Kini, hanya 30 peratus sahaja generasi muda Ukit yang boleh menghasilkan produk kraf tangan daripada rotan.
“Saya berharap melalui pameran sebegini ia akan menarik minat generasi muda kami untuk belajar menghasilkannya.
“Ini kerana, ia adalah satu warisan yang perlu diwarisi agar tidak hilang begitu sahaja,” katanya.














