fbpx
AWAL ASHAARI

Awal Ashaari bimbang anak ‘hanyut’ dengan kemewahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIAPA tidak kenal figura bernama Awal Ashaari. Dalam bidang seni, selebriti ‘stylo’ berstatus bapa kepada dua orang anak itu cukup popular sebagai pengacara dan juga pelakon.

Ketika menghadiri majlis-majlis hiburan, penampilannya dari hujung rambut sehingga hujung kaki sering menjadi perhatian.

Maka tidak hairanlah, suami kepada aktres Scha Alyahya itu layak digelar selebriti lelaki paling bergaya di Malaysia.

Lama sebenarnya kelibat bekas pengacara itu tidak muncul mewarnai segmen lakonan dalam layar lebar mahupun televisyen.

Sesekali sahaja wajahnya menyerikan acara hiburan atau program televisyen sebagai pengacara.

Bukan kerana sudah tidak laris atau meletakkan titik noktah terhadap kerjaya lakonan, namun Awal sendiri memilih untuk memperlahankan rentaknya dalam bidang lakon layar, dek kekangan masa menguruskan keluarga.

Lakonan vs pengacaraan

Lelaki berusia 42 tahun itu mengakui kesukaran paling utamanya adalah berkompromi dengan durasi panjang di lokasi penggambaran.

“Saya masih minat dan tidak pernah putus menerima tawaran berlakon. Cuma saya terpaksa menolak kerana mahu mengutamakan kehidupan peribadi bersama keluarga.

“Saya tabik kepada pelakon yang ada daya kesabaran dan ketahanan tinggi. Kalau di lokasi, saya kadang-kadang terfikir kenapa mereka boleh bekerja dalam tempoh sangat panjang.

“Sekarang, sebenarnya saya tak boleh bertoleransi dengan perkara itu (masa). Saya ada komitmen, hantar anak ke sekolah dan jaga mereka di rumah. Jadi, saya lebih memilih kerjaya yang tidak makan masa,” katanya.

KATA Awal, dia lebih sukakan bidang pengacaraan yang tidak memerlukan komitmen tinggi berbanding cabang lakonan.

Pada masa sama, pelakon yang pernah membintangi filem Impak Maksima itu juga mahu mengutamakan kesihatan mental apabila melakukan kerja yang lebih disukainya iaitu mengacara.

“Untuk tawaran pengacaraan, memang saya jarang tolak. Saya sebenarnya lebih selesa menjadi pengacara. Kalau tolak pun mungkin sebab tawaran itu ‘bertembung’ dengan kerja lain.

“Saya lebih suka mengacara kerana kepuasan serta kegembiraan mental,” katanya.

Sebagai bapa kepada dua orang puteri, Awal berkata, masa bersama keluarga menjadi keutamaan dirinya kini.

Memandangkan puteri-puteri kesayangannya, Lara Alana dan Lyla Amina yang masing-masing kini berusia 9 dan 2 tahun masih kecil, justeru perhatian lebih perlu diberikan terhadap mereka.

Tambah anak?

Disoal tentang perancangan untuk menambah anak, khususnya menimang cahaya mata lelaki, jujurnya Awal mengakui, tidak merancang untuk menambah bilangan cahaya mata atas beberapa faktor.

Kata pemilik nama lengkap Ahmad Awaluddin Ashaari itu, tugas membesarkan dua orang anak buat masa ini sudah dianggap mencabar dan memerlukan komitmen tinggi daripada segi masa dan kos.

“Untuk menambah bilangan cahaya mata, saya ada bercakap dengan Scha Alyahya, cukuplah dua orang anak.

“Ketika anak masih kecil, memang seronok melayan. Tapi apabila mereka semakin membesar, ada satu tanggungjawab yang perlu kita lakukan dengan sempurna.

“Sebagai ibu bapa, kami perlu menyediakan yang terbaik untuk anak-anak selain perlu memastikan kesihatan mental mereka terjaga.

“Sebab saya dan isteri memang sibuk. Keluar pagi, balik malam,” jelasnya.

Pada masa sama, Awal juga bimbang tidak dapat memberikan perhatian sempurna jika dikurniakan anak ramai.

Dia bagaimanapun tidak menolak seandainya suatu hari nanti, mereka diberikan rezeki untuk menimang zuriat ketiga pada masa akan datang.

Bimbang

“Saya takut kalau ada anak ramai, jadi tidak terjaga. Buat masa sekarang dua anak sudah pun membuatkan saya dan Scha gembira. Tapi kalau ada rezeki, kami tidak menolaknya (anak ketiga),” katanya.

Menyentuh tentang cabaran membesarkan dua anak, tanpa berselindung, Awal mengakui bimbang Lara dan Lyla akan ‘hanyut’ dek keselesaan hidup sehingga tidak sedar kesusahan orang lain.

“Itu hal yang saya dan isteri selalu bualkan. Lara dan Lyla membesar dengan cara yang sangat selesa sehingga mereka tak sedar pun sebenarnya di luar sana ada orang susah.

Awal dan isteri, Scha Alyahya enggan terlalu memanjakan anak mereka, Lara Alana dan Lyla dengan kemewahan.

“Saya pernah beritahu Lara, ada sesetengah rumah tiada pendingin hawa dan dia tidak percaya. Dia ingat semua rumah ada peralatan itu (pendingin hawa).

“Lara tak faham konsep susah. Dia rasa senang, tambahan pula kawan-kawan dia pun senang.

“Jadi dia tak pernah terfikir ada orang yang adik-beradiknya ramai. Nak makan pun tak cukup,” jelasnya.

Sebagai langkah mendidik, Awal dan Scha pernah berbincang untuk meluangkan masa membawa anak mereka melawat ke rumah anak-anak yatim, rumah kebajikan dan gelandangan agar mereka dapat melihat sendiri kehidupan individu yang kurang bernasib baik.

“Itu antara usaha-usaha yang kami akan buat nanti.

“Kami nak bawa mereka pergi tengok orang susah. Sebab kalau dibiarkan, takut mereka hanyut,” luah Awal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN