fbpx

5,551 kawasan hot spot banjir dipantau seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail banjir melanda di Kampung Baru Muafakat Gelang Patah di Iskandar Puteri, Johor 12 Jun lalu.

PETALING JAYA – Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan sebanyak 5,551 kawasan di seluruh negara disenaraikan sebagai lokasi panas atau hot spot banjir ketika ini.

Ketua Pengarah JPS, Datuk Ir. Ahmad Anuar Othman berkata, lokasi tersebut melibatkan empat jenis kategori banjir iaitu banjir Monsun Timur Laut, banjir kilat, banjir pantai dan banjir genang.

“Berdasarkan statistik terkini JPS, Sarawak mencatatkan hot spot banjir paling tinggi iaitu sebanyak 1,025 kawasan diikuti Sabah (798), Pahang (750), Kelantan (617), Johor (432), Negeri Sembilan (369), Perak (286), Selangor (271) dan Kedah (260).

“Diikuti Terengganu (258), Pulau Pinang (241), Melaka (157), Wilayah Persekutuan (48), Perlis (22) dan Labuan (17),” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Bagaimanapun kata beliau, lokasi dan daerah yang diklasifikasikan sebagai kawasan akan diberitahu kemudian kerana masih dalam penelitian pihak­nya bersama agensi setiap ne­geri.

Mengulas lanjut, Ahmad Anuar berkata, banjir monsun berlaku semasa musim Monsun Timur Laut akibat hujan lebat berpanjangan dalam tempoh yang lama sehingga limpahan air sungai dan banjir lambat surut.

Jelasnya, banjir kilat pula ia berlaku akibat hujan yang sa­ngat lebat dalam tempoh masa yang singkat yang menyebabkan kenaikan air banjir secara cepat dan mendadak, namun air banjir cepat surut.

“Banjir pantai pula berlaku apabila berlaku pertembungan hujan lebat dan juga situasi air pasang yang menyebabkan kawasan persisiran pantai mengalami situasi banjir.

“Manakala, banjir genang iaitu banjir yang berlaku di kawasan rendah dan aliran air banjir tidak dapat keluar dengan cepat kerana permukaan bumi yang rendah,” katanya.

Selain itu, JPS telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dan menyediakan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA).

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), JPS meneruskan inisiatif projek-projek tebatan banjir untuk kesinambungan dan kesiapsiagaan menghadapi banjir,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI