fbpx

Isteri jadi mangsa culik, dera angkara hutang suami RM540,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kok Chin ( dua dari kiri) menunjukkan paip getah yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa bersama 14 suspek yang diberkas pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang wanita warga Indonesia berdepan pengalaman ngeri ketika bercuti di negeri ini apabila dia menjadi mangsa culik selama 10 hari angkara hutang suami berjumlah RM540,000, minggu lalu.

Selain dikurung, wanita berusia 36 tahun itu turut diikat dengan rantai besi, didera termasuk dicucuh dengan puntung rokok dan dicucuk jarum selain disebat menggunakan paip getah.

Penderitaan mangsa bagaimanapun berakhir selepas dia berjaya diselamatkan polis dalam satu operasi khas Op Scorpion Rantai Penang di sebuah rumah di Shah Alam, Selangor, 17 September lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, mangsa diculik sekumpulan lelaki ketika berada di Relau dekat sini pada 7 September lalu dan dikurung di beberapa lokasi.

Menurut beliau, mangsa telah dikurung di sebuah rumah di Butterworth selama tiga hari, di sebuah rumah di Puchong, Selangor selama empat hari dan di Shah Alam selama tiga hari sebelum berjaya diselamatkan.

“Siasatan awal mendapati, mangsa diculik disebabkan masalah hutang perniagaan yang ditanggung suaminya yang juga warga Indonesia berusia 47 tahun bersama seorang lelaki tempatan berjumlah RM540,000.

“Suami mangsa dikatakan gagal membayar wang itu dan isterinya diculik dan dijadikan tebusan oleh suspek untuk menuntut wang tersebut.

“Suami mangsa sempat membayar sebanyak RM50,750 kepada suspek menerusi dua transaksi, namun suspek enggan melepaskan isterinya selagi keseluruhan hutang berjumlah lebih setengah juta itu dilangsaikan sepenuhnya,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, pihaknya menerima laporan daripada suami mangsa pada 15 September lalu iaitu selepas kira-kira seminggu isterinya diculik sekumpulan individu yang didalangi suspek terbabit.

“Bertindak daripada laporan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang melancarkan operasi menyelamatkan mangsa dan mengesan kesemua suspek terlibat.

“Pada hari yang sama iaitu antara pukul 6 pagi hingga 10.30 malam, polis berjaya menahan 14 suspek termasuk dalang kes penculikan itu yang berumur 35 tahun di beberapa lokasi termasuk di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Perak.

“Mereka yang ditahan masing-masing 12 lelaki dan dua wanita termasuk dua lelaki warga asing yang kesemuanya berusia antara 23 hingga 70 tahun,” ujarnya kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI