fbpx

Perak jadi tarikan, rekod pelaburan RM7.1 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERAK kini muncul antara empat negeri di Malaysia yang mencatat pelaburan tinggi dengan merekodkan pelaburan RM7.1 bilion pada suku pertama 2023.

PETALING JAYA – Pelabur tempatan dan asing kini melihat Pe­rak sebagai destinasi pelaburan yang berpotensi didorong oleh pembangunan projek-projek berimpak tinggi yang sedang dan akan dilaksana di negeri itu.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Wan Mohd. Farid Wan Zakaria berkata, antara perkembangan terbaharu yang menarik perhatian ialah pe­ngumuman Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bahawa Perak merekodkan pelaburan RM7.1 bilion pada suku pertama tahun 2023.

“Ini merupakan peningkatan 550 peratus berbanding tempoh sama pada 2022, satu rekod yang cukup memberangsangkan.

“Setelah sekian lama Perak ‘tenggelam’ oleh dua kuasa industri iaitu Selangor dan Pulau Pinang, kini negeri Seladang tersebut muncul antara empat negeri di Malaysia yang mencatat pelaburan tinggi.

“Penggalak kepada pelaburan ini adalah pelbagai faktor, terutama keberkesanan peranca­ngan dan dasar ekonomi kerajaan ne­geri yang efisien dalam menyusun serta menyediakan prasarana yang dimahukan pelabur,” katanya.

Ujar beliau, jika diteliti secara lebih rapat, jalinan lebuh raya baharu iaitu Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dan naik taraf sistem pelabuhan menerusi projek Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) adalah kunci utama menarik pelaburan ke Perak.

Katanya, pelan pemba­ngunan ekonomi Perak meliputi keseluruhan negeri termasuk kawasan tengah dan utara yang bersempadan dengan Pulau Pinang, serta kawasan selatan apabila Tanjung Malim yang selama ini dikenali dengan Proton City bakal mene­rima pelaburan besar RM40 ­bi­­li­on daripada rakan kongsi Proton, iaitu Geely bagi tempoh 10 tahun.

“WCE yang berakhir di Taiping contohnya, memastikan manfaat lebuh raya tersebut dinikmati hingga ke utara Perak.

“Usaha kerajaan negeri untuk pembinaan lebuh raya baharu, termasuk Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) yang menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar juga mampu memperkukuhkan reputasi Pe­rak sebagai hab pelaburan masa hadapan,” ujarnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad sebelum ini mengumumkan usahasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dengan pengendali pelabuhan terkemuka, Port of Antwerp-Bruges International (PoABI) untuk membangunkan LuMIC di Manjung, dengan nilai pelaburan mencecah RM72 bilion dalam tempoh 25 tahun.

Selain itu, inisiatif Perak membuka kawasan perindustrian berteknologi tinggi, Silver Valley Technology Park (SVTP) telah mula menampakkan kejayaan susulan kejayaan menarik pelaburan RM100 juta oleh syarikat Jinjing Silicon Technology bagi industri pemprosesan bahan mineral berasaskan kuarza dan silika.

Satu lagi komoditi baharu yang mampu menarik pelaburan ialah unsur nadir bumi lantanid (Rare Earth Element, REE) yang dilombong di Mukim Kenering, Hulu Perak.

Buat masa ini, Perak adalah satu-satunya negeri yang memperoleh lesen melombong REE yang menyaksikan sebanyak 296.2 tan metrik telah dieksport dan sebanyak RM1.66 juta dalam bentuk royalti telah diterima kerajaan negeri pada Mei 2023.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI