fbpx

Konflik Azerbaijan-Armenia: Perang berskala penuh dibimbangi tercetus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ASKAR Pertahanan Karabakh bersiap sedia untuk melepaskan tembakan artileri ke arah kedudukan tentera Azerbaijan semasa pertempuran berterusan di Nagorno-Karabakh pada 4 Oktober 2020. - AFP

BAKU, AZERBAIJAN – Serangan dilancarkan tentera Azerbaijan ke atas wilayah yang menjadi pertikaian, Nagorno-Karabakh dibimbangi mampu mencetuskan peperangan berskala penuh di rantau tersebut, lapor portal berita MailOnline.

Kementerian Pertahanan Azerbaijan memaklumkan ia menyasarkan kedudukan tentera pemisah Armenia, namun menurut Yerevan, 25 orang terbunuh dalam serangan bertalu-talu itu termasuk orang awam. Kira-kira 80 lagi dilaporkan cedera.

Pegawai-pegawai etnik pemisah Armenia di Nagorno-Karabakh turut melaporkan bandar Stepanakert dan beberapa perkampungan lain dibedil bertubi-tubi.

Kementerian Pertahanan Azerbaijan mengumumkan permulaan operasi itu beberapa jam selepas empat askar dan dua orang awam dilaporkan maut dalam beberapa letupan di sebuah tapak perlombongan di wilayah yang menjadi pertikaian antara dua negara berkenaan.

“Operasi antipengganas setempat telah dilancarkan di rantau ini.

“Tentera haram Armenia perlu menyerah. Sekiranya enggan, tindakan-tindakan antipengganas akan diteruskan sehingga ke peringkat akhir,” kata kementerian berkenaan.

Azerbaijan dan Armenia telah terlibat dalam konflik selama berdekad-dekad berhubung wilayah Nagorno-Karabakh di selatan rantau Caucasus, yang dikatakan sebahagian daripada Azerbaijan.

Namun, wilayah itu kini dikuasai askar etnik Armenia yang disokong tentera negara berkenaan sejak perang pemisah berakhir pada 1994.

Pada 2020, Azerbaijan merampas kembali wilayah itu menerusi perang selama enam minggu dan berakhir dengan perjanjian damai yang ditaja oleh Russia.

Sementara itu, pasukan pemisah Armenia di wilayah berkenaan berkata, lebih 7,000 orang dari 16 kampung telah dipindahkan susulan serangan tersebut.

Kementerian Luar Armenia dalam satu kenyataan pula mengutuk serangan tersebut dengan menyatakan bahawa Azerbaijan melancarkan satu lagi serangan berskala besar terhadap penduduk Nagorno-Karabakh dengan menyasarkan untuk melengkapkan dasar pembersihan etnik.

“Pasukan pengaman Russia perlu mengambil langkah jelas dan tegas untuk menghentikan serangan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, penunjuk perasaan di ibu kota Armenia, Yerevan menggesa Perdana Menteri Nikol Pashinyan meletak jawatan selepas beliau menolak gesaan untuk melakukan tindak balas ke atas serangan Azerbaijan.

Beratus-ratus orang berkumpul di Dataran Republik di luar pejabat Pashinyan untuk membantah cara beliau menangani krisis Karabakh sambil melaung slogan ‘pengkhianat Nikol’ dan ‘Nikol letak jawatan’. 

“Adalah mustahil untuk mempunyai seorang pemimpin yang menyebabkan negara kehilangan wilayah,” kata seorang penunjuk perasaan, Gevorg Gevorgyan. – AFP/AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI