fbpx
GAMBAR HIASAN

Pengajaran bermakna, tiada insurans sukarela di Hatyai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Statistik pada Disember 2020 menunjukkan sejuta rakyat Malaysia direkodkan melancong ke Thailand selepas pintu sempadan kedua-dua negara dibuka.

Dua lokasi paling popular adalah Hatyai dan Bangkok. Penulis pasti jumlah berkenaan lebih lagi ketika ini. Akses ke sana juga mudah, memandu sendiri, kapal terbang mahupun kereta api. Hotel juga murah.

Bercuti di Hatyai ibarat syurga bagi pencinta makanan. Semuanya tentang makanan. Durian RM13 sebekas. Hidangan tomyam serta udang sebesar tapak tangan cuma RM15.

Lokasi beli-belah juga banyak, murah dan menarik. Floating market dan night market. Ini tumpuan pelancong pada hujung minggu.

Setiap rakyat Malaysia pastinya akan singgah di 7eleven mencari burger dan susu pisang. Peminat kopi pastikan anda berkunjung ke Cafe Amazon. Jangan lupa cuba urutan di sana, murah dan rasa ringan badan.

Bagaimanapun rasa seronok bercuti bertukar menjadi mimpi ngeri sekiranya anda terlibat kemalangan di sana. Lebih malang anda tidak mengambil insurans sukarela atau voluntary insurance.

Bagi yang membawa kenderaan anda perlu mengambil insurans wajib sekitar RM15 satu kereta.

Harga insurans sukarela pula mengikut jenis kereta dan penumpang selain jumlah hari. Insurans sukarela melindungi daripada tuntutan pihak ketiga selain membantu anda membayar pampasan di luar jangkaan.

Percutian tiga hari dua malam menjadi kisah malang buat sahabat penulis apabila terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Hatyai.

Kemalangan berpunca apabila sahabat penulis mahu membelok ke kiri sedangkan dia berada di laluan tengah. Peraturan di sana jika anda berada di laluan kiri baru boleh membelok.

Semuanya bermula apabila dia tidak mengambil insurans sukarela, hanya insurans wajib.

Bermula detik itu, rakyat Malaysia ini ‘ditahan’ tiga hari di negara berkenaan selain terpaksa membayar lebih RM13,000 untuk selesaikan kes. Duit towing, saman pun kena bayar.

Lebih malang, jika kita tidak bersetuju dengan rundingan, ‘berumah tanggalah’ hingga kes diselesaikan di mahkamah 40 hari lagi.

Kata sahabat itu, dia pada mulanya diminta menyediakan RM30,000 kerana perlu menanggung sendiri kos baiki kenderaan warga Thailand itu.

Terduduk, mana mahu cekau duit. RM13,000 pun sakit inikan pula RM30,000. Inilah padah sikap ambil mudah.

Ramai beranggapan mudah selesaikan jika terlibat kemalangan, namun insiden itu tidak boleh dipandang ringan kerana prosedur berkaitan urusan menyelesaikan kes kemalangan adalah rumit berikutan masalah komunikasi selain kos rawatan di hospital negara berkenaan tinggi. Insurans tidak mahal pun.

Beringatlah semua, jangan perjudikan diri, keluarga dan orang lain. Sama juga kisah rider yang motosikal disita kerana lesen dan insurans tamat tempoh enam bulan.

Tidak kira di Malaysia mahu pun negara lain, belajar peraturan di sana. Dalam apa jua situasi, penulis berasa bertuah tinggal di Malaysia. Selamat Hari Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN