fbpx

K2

Pahang negeri paling sukar ditakluki British

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian kakitangan British yang bertanggungjawab menguruskan kegiatan ekonomi di Tanah Melayu.

KEKAYAAN hasil bumi Pahang telah menarik minat penjajah Inggeris.

Namun, beberapa kali telah gagal dalam usaha menakluk negeri itu.

Helah bagi mendapatkan Pahang untuk dijadikan negeri naungan tidak dapat digunakan.

Hal ini kerana British tidak mempunyai sebarang alasan untuk memaksa pembesar Pahang menerima kehadiran mereka.

Kesukaran juga wujud disebabkan Pahang tidak mempunyai sebarang kekacauan dalam kalangan kumpulan imigran.

Usaha Governor British di Negeri-Negeri Selat, Sir Andrew Clarke, pada peringkat awal, hanya cuba memujuk Bendahara Wan Ahmad, pemerintah negeri Pahang menerima penasihat dan pembantu dalam pentadbiran negeri, namun telah ditolak.

Clarke meninggalkan Tanah Melayu tanpa dapat menguasai Pahang.

Pengganti Clarke, William Jervois berusaha meneruskan usaha Clarke.

Pada Julai 1875, Jervois telah datang ke Pahang untuk memujuk Bendahara Wan Ahmad supaya menerima seorang penasihat British.

Bagaimanapun, melalui pengalaman yang dilihat ke atas negeri-negeri Melayu lain, Bendahara enggan menerima penasihat British.

Minat British terhadap Pahang berhenti seketika dengan perkembangan penentangan yang berlaku di Perak sehingga mengakibatkan pembunuhan J.W.W. Birch pada 1875.

Usaha British untuk campur tangan di Pahang diusahakan kembali apabila Sir Frederick Weld menjadi Gabenor British di Singapura.

Weld tiba di Singapura pada Mei 1880 ketika usianya 56 tahun untuk menjawat jawatan gabenor.

Apabila tiba di Singapura, beliau mendapati pihak British masih belum secara aktif memperluaskan dasar penjajahan di negeri-negeri Tanah Melayu yang mempunyai sumber kekayaan bagi menjamin keuntungan ekonomi kepada Britain.

Weld yang melawat negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung berpandangan kawasan itu sesuai bagi tanaman kopi, tebu, teh, lada hitam dan lain-lain tumbuhan ekonomi.

Negeri-negeri Melayu juga memiliki kekayaan bijih timah yang mempunyai permintaan tinggi di Eropah selepas berlakunya Revolusi Industri.

Walaupun mempunyai sumber hasil kekayaan, tetapi ia masih belum dieksplorasi.

Oleh itu, Weld bercita-cita untuk membantu mengembangkan penguasaan ekonomi dan perdagangan British di Pahang.

Pada 1885, Frank Swettenham telah diutuskan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat untuk mengadakan perjanjian dengan Sultan Ahmad, tetapi gagal.

Pada 1887, Hugh Clifford pula telah diutuskan untuk mengikat Perjanjian Pertahanan, tetapi telah ditolak oleh Sultan Ahmad.

Akhirnya, Sir Frederick Weld, Gabenor Negeri-Negeri Selat sendiri telah pergi ke Pahang mengadap Sultan Ahmad.

Beliau mendesak baginda menandatangani perjanjian dengan Inggeris.

Sultan Ahmad yang telah dipengaruhi oleh Sultan Johor, Sultan Abu Bakar, akhirnya terpaksa menandatangani perjanjian menerima seorang wakil Inggeris di Pahang.

Inggeris masih belum puas hati terhadap penglibatan mereka di Pahang.

SENARAI Sultan Pahang dari yang pertama hingga kelima.

Pada Februari 1888 telah berlaku satu peristiwa yang tidak disangka-sangka berhampiran dengan istana di Pekan iaitu pembunuhan ke atas Goh Hui, seorang berbangsa Cina.

Pihak Inggeris telah memberi perhatian yang sangat serius terhadap peristiwa itu.

Mereka mendakwa bahawa mangsa pembunuhan itu adalah seorang rakyat Inggeris dan telah menuntut ganti rugi.

Mereka juga mendakwa Sultan Ahmad bertanggungjawab di atas pembunuhannya.

Inggeris juga telah meminta supaya wakil Inggeris di Pahang dinaikkan tarafnya sebagai residen untuk menjaga dan menjamin keselamatan rakyat Inggeris di negeri itu.

Tuntutan-tuntutan itu dibuat sendiri oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, Cecil Smith.

Beliau datang bersama-sama dengan Frank Swettenham dan Pickering ke Pahang pada Jun 1888.

Sultan Ahmad telah diberi tempoh oleh Cecil Smith selama 10 hari untuk memberi kata putus.

Pada masa sama, Inggeris telah meminta jasa baik Sultan Johor, Sultan Abu Bakar, supaya campur tangan terhadap perselisihan itu.

Sultan Abu Bakar sendiri telah berangkat ke Pahang mengadap Sultan Ahmad.

Sultan Abu Bakar menasihatkan Sultan Ahmad supaya menerima Residen Inggeris dan memberitahu bahawa berperang dengan Inggeris merupakan pekerjaan sia-sia.

Sultan Ahmad sebagaimana biasa terpaksa mendapatkan pandangan daripada pembesar-pembesar baginda sebelum membuat keputusan.

Pembesar-pembesar Pahang seperti Datuk Bahaman, Maharaja Perba Jelai, Datuk Kaya Chenor, Imam Perang Indera Gajah telah meminta sultan menolak permintaan Inggeris dan mereka bersedia berperang.

Dalam keadaan serba salah, pada tahun 1888, Sultan Ahmad terpaksa menandatangani sepucuk surat menerima perlindungan dan bantuan Inggeris dalam urusan pentadbiran.

Pahang juga akan menjalankan sistem yang sama seperti mana yang telah dijalankan ke atas negeri-negeri Melayu lain iaitu Perak, Selangor dan Sungai Ujong.

Sultan Ahmad juga telah mengakui bertanggungjawab terhadap pembunuhan Goh Hui.

Dengan surat ini bermakna Pahang terpaksa menerima seorang Residen Inggeris.

Pada bulan Oktober, 1888, John Pickersgill Rodger (J.P.Rodger) telah dilantik menjadi Residen Inggeris pertama di Pahang.

Ini bermakna bermulalah campur tangan Inggeris di Pahang secara langsung dalam hal-hal pentadbiran, politik dan ekonomi di negeri itu.

Dari aspek pentadbiran, semasa pendudukan British di negeri itu, dalam keadaan terpaksa Sultan Pahang meminta agar British meletakkan atau melantik residen sebagai penasihat kepada sultan dalam hal ehwal pentadbiran.

Sepanjang tempoh 1888-1950, terdapat lebih kurang 54 pelantikan Residen dan Penasihat British dalam pentadbiran Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI