fbpx

[KEMASKINI] Nahas Putrajaya: Konvoi polis pengiring patuh SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
A.Asmadi bercakap kepada media di kemalangan di Putrajaya hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

PUTRAJAYA – Polis mengesahkan konvoi beberapa buah motosikal polis pengiring yang terbabit dalam insiden kemalangan di Persiaran Utara, di sini pagi tadi telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, anggota polis pengiring itu terbabit Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) bagi raptai mengiringi perlumbaan basikal Tour de Langkawi (LTdL).

Beliau berkata, pelumbaan LTdL itu dijadual berlangsung esok dan dijangka melalui beberapa jalan utama di sekitar Putrajaya termasuk laluan terbabit kemalangan.

“Anggota terbabit berada di lokasi kejadian bagi mengenalpasti laluan yang terbabit dalam LTdL dan mereka mematuhi tatacara yang telah ditetapkan.

“Saya tidak pasti kenapa lori berkenaan bertindak menukar laluan dan kemudian merempuh mangsa atau mungkin terleka bermain telefon bimbit.

“Kami dapati pemandu lori itu mampu memberhentikan kenderaannya kerana kenderaan lain dihadapan telah berhenti dengan cara baik selepas diarahkan polis pengiring itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Sistem rakaman litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati, polis pengiring terlebih dahulu memberhentikan kenderaan lain di laluan berkenaan sebelum nahas itu berlaku.

A. Asmadi berkata, beliau mengesahkan anggota polis pengiring yang terlibat dalam insiden itu tidak mengalami apa-apa kecederaan dan berjaya menyelamatkan diri.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, lori membawa muatan pasir dan batu itu dipandu agak laju dan pemandu mendakwa tidak sempat menekan brek untuk memberhentikan kenderaan.

“Siasatan awal mendapati, pemandu lori berusia 25 tahun itu tiada rekod kesalahan lalu lintas namun, akan ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Katanya, dua penunggang motosikal yang maut masing-masing berusia 25 dan 39 tahun kini berada di Hospital Putrajaya untuk proses bedah siasat dan identiti mangsa belum dikenal pasti. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI