fbpx

Mahkamah: Saksi nafi berbohong dalam kes Guan Eng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guan Eng. Foto oleh Shidiqin Zon/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengarah syarikat menafikan beliau berbohong ketika memberi keterangan berhubung wang RM2 juta untuk bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Ibrahim Sahari, 59, juga tidak bersetuju bahawa beliau tidak konsisten ketika memberi keterangan mengaitkan wang itu yang diminta ahli perniagaan, G. Gnanaraja daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli.

Ibrahim dan Zarul Ahmad ketika itu merupakan pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB), syarikat yang dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut Pulau Pinang. CZCSB dahulunya dikenali sebagai Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG).

Isu keterangan tidak konsisten itu ditimbulkan peguam Gobind Singh Deo ekoran keterangan Ibrahim di Mahkamah Sesyen Shah Alam berkaitan pengakuan Zarul Ahmad memaklumkan beliau ditipu Gnanaraja yang meminta wang RM19 juta kononnya untuk melindungi syarikatnya.

Di Shah Alam, Ibrahim menyatakan, Gnanaraja pada awalnya memberi tekanan kepada Zarul Ahmad dan meminta RM19 juta untuk menutup siasatan yang dilakukan terhadapnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah kesalahan pengubahan wang haram.

Saksi berkata, Zarul Ahmad kemudian menyedari beliau ditipu dan membawa perkara itu kepada perhatian mesyuarat lembaga pengarah dan mereka bersetuju melantik peguam bagi menghantar notis tuntutan mendapatkan kembali wang berkenaan.

Pada prosiding kes Guan Eng di ibu negara, Ibrahim mengaku menyediakan invois dan baucar palsu yang mana wang itu diserahkan kepada Zarul Ahmad yang didakwa digunakan untuk merasuah Guan Eng.

Terdahulu, ketika disoal balas oleh peguam Tiara Katrina Fuad, Ibrahim berkata, Zarul Ahmad memberitahu beliau memerlukan RM15 juta untuk diberikan kepada Gnanaraja bagi melindungi syarikat mereka daripada siasatan di bawah AMLA.

Ujar saksi itu, pembayaran pertama sebanyak RM2 juta diberikan kepada Gnanaraja pada 2 Julai 2017, manakala pembayaran terakhir pada 18 Ogos 2017.

Ibrahim selanjutnya berkata, Zarul Ahmad tidak pernah memberitahunya bahawa wang itu untuk diberikan kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pada sesi pemeriksaan semula yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi tidak mengetahui mengapa tuntutan sivil tidak diteruskan terhadap Gnanaraja.

Beliau juga tidak mengetahui sama ada Zarul Ahmad berselindung ketika memberikan wang RM19 juta seperti yang diminta Gnanaraja. Ibrahim turut menyatakan, transaksi pembayaran cek berkaitan kes di Shah Alam adalah berbeza dengan kes Guan Eng di sini.

Sebelum perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi ditangguhkan, Wan Shaharuddin memaklumkan prosiding selanjutnya akan mendengar keterangan Zarul Ahmad bagi sesi soal balas diikuti keterangan Gnanaraja dan pegawai penyiasat. Perbicaraan disambung 23 hingga 25 Oktober ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI