fbpx
KISAH seorang rider yang tular di media sosial baru-baru ini.

Kes rider tular: Syarikat perlu buat siasatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Baru-baru ini, tular video seorang penghantar makanan berjalan kaki selepas motosikalnya disita pihak berkuasa di Negeri Sembilan.

Apa yang menjadi persoalan bagaimana rider itu bekerja dan risiko yang dihadapi sekiranya berlaku kemalangan disebabkan tiada perlindungan insurans dan lesen memandu tamat tempoh.

Dari sudut mata kasarnya, masyarakat melihat usaha rider itu mencari rezeki halal merupakan satu perkara yang dipuji.

Bagaimanapun, tindakan itu membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain, lebih-lebih lagi jika terbabit dalam kemalangan.

Jangan pula apabila berlaku insiden tidak diingini, ada pihak mula menuding jari kepada agensi berkaitan kononnya tidak menjalankan tugas.

Mendedahkan perkara itu, Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Abdul Hakim Abdul Rani berkata, perkara tersebut boleh berlaku dengan menggunakan pengenalan diri (ID) penghantar makanan lain.

“Perkara ini bukan sesuatu yang baharu. Ia berlaku mengikut dua situasi sama ada tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau akaun sebenar miliknya (rider) telah digantung.

“Mereka yang tiada lesen memandu ini biasanya dalam kala­ngan kumpulan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Oleh itu, mereka memandu menggunakan ID rakan-rakan atau ahli keluarga untuk mencari duit tepi dan bukannya sebagai pekerjaan tetap.

“Situasi kedua pula adalah penghantar makanan digantung akaun tanpa sebab yang munasabah akibat aduan pembeli tanpa mendengar penjelasan dari pihak rider,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Jelas beliau, terdapat situasi wujud kelopongan sistem syarikat penghantar makanan yang tidak mengenakan imbasan muka sebelum penghantar makanan memulakan tugas sekali gus memudahkan mana-mana individu menjadi rider menggunakan akaun orang lain.

Mengulas mengenai tindakan menyita motosikal penghantar makanan yang tular baru-baru ini, Abdul Hakim tidak me­nyalahkan penguat kuasa semata-mata, malah menuntut tindakan juga perlu diambil terhadap syarikat penghantar makanan tersebut.

“Pihak berkuasa perlu ambil tindakan juga kepada syarikat penghantar makanan kerana mengapa mereka boleh melepaskan individu yang tiada lesen dan insurans kenderaan menghantar makanan.

“Syarikat pengendali juga perlu melakukan siasatan dalaman mengapa rider bertindak demikian. Adakah sebab akaun digantung atau sebaliknya,” katanya.

Berbalik kepada video tular kelmarin, hasil semakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati penghantar makanan itu tidak mempunyai lesen memandu selain tiada insurans kenderaan.

JPJ dalam satu kenyataan menjelaskan, tindakan menyita motosikal tersebut dilakukan adalah untuk menjaga keselamatan penunggang tersebut dan pengguna jalan raya kerana tidak dilindungi insurans.

Bagi penulis sendiri, apabila timbul isu sebegini bukan penghantar makanan sahaja perlu diambil tindakan, malah syarikat pengendali juga perlu bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain terjamin.

Kelemahan dalam isu ini tertumpu kepada sistem yang boleh membenarkan penghantar makanan yang tidak memenuhi syarat bertugas di jalan raya sehingga mendatangkan risiko kepada pengguna lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN