fbpx

Tawarkan Pan-gon kontrak panjang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAN-GON (kanan) dilihat telah ‘lulus’ KPI apabila berjaya membantu skuad negara layak ke Piala Asia 2023 selain cemerlang di pentas antarabangsa. – FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) disarankan untuk memberi tawaran kontrak jangka panjang kepada ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon agar khidmatnya tidak disambar pasukan pesaing pada masa akan datang.

Difahamkan, Pan-gon telah menandatangani kontrak selama dua tahun pada awal Januari 2021 dengan memiliki peluang untuk kekal secara automatik selama setahun sekiranya mencapai petunjuk indeks prestasi (KPI) yang ditetapkan.

Berdasarkan prestasi semasa, pengendali import dari Korea Selatan itu sudah ‘lulus’ KPI apabila berjaya membantu skuad negara layak ke Piala Asia 2023 selain tampil cemerlang pada kempen antarabangsa.

Malah, skuad Harimau Malaya mencatat sejarah tersendiri apabila mengikat dua pasukan jaguh benua Asia iaitu Syria dengan keputusan 2-2 dan China 1-1 pada aksi persahabatan di Chengdu minggu lalu.

Bekas jurulatih skuad Harimau Muda yang kini penganalisis bola sepak, Mohd. Azraai Khor Abdullah percaya FAM tidak boleh terlalu ber­puas hati, namun perlu segera ‘mengikat’ Pan-gon untuk elak beliau dirisik negara lain.

Kata Mohd. Azraai, FAM patut menawarkan kontrak selama lima tahun buat Pan-gon, sekali gus mengikut jejak negara Vietnam sewaktu dikendalikan oleh pengendali berpe­ngaruh, Park Hang-seo sebelum ini.

“Sudah tentu peminat tidak mahu jurulatih berkaliber se­perti beliau disambar pasukan lain.

“Kita boleh lihat contoh Vietnam yang mengekalkan jurulatih sama (Hang-seo) untuk tempoh lebih lima tahun (2017 hingga Januari 2023) dan mereka berada di tahap terbaik ketika ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Sebagai rekod, Pan-gon di­pilih menjadi pengendali skuad kebangsaan bagi menggantikan sentuhan anak tempatan, Tan Cheng Hoe yang dipecat pada penghujung 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI