fbpx

Tun M, dua lagi diberi tempoh hingga bulan depan fail pembelaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahathir.

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad dan dua pihak lagi diberi tempoh sehingga bulan depan untuk memfailkan pembelaan dalam kes saman bekas Pengerusi Eksekutif Renong Berhad, Tan Sri Halim Saad berhubung isu penjualan saham syarikat secara paksa, hampir 23 tahun lalu.

Selain bekas Perdana Menteri, bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Kerajaan Malaysia turut diarah oleh Mahkamah Tinggi, di sini, memfailkan pembelaan sebelum atau pada 6 Oktober ini manakala Halim selaku plaintif pula diarah memfailkan jawapan kepada pembelaan pada 23 Oktober ini.

Pihak-pihak juga diarah memfailkan permohonan interlokutori sebelum tarikh pengurusan kes berikutnya pada 20 November ini.

Perkara itu dimaklumkan kepada pihak media oleh Peguam Persekutuan Imtiyaz Wizni Aufa Othman selepas sesi pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nik Nur Amalina Mat Zaidan, hari ini.

Pada 2 Ogos lalu, Halim menyaman Dr. Mahathir dan dua pihak lagi bagi menuntut pampasan berhubung kerugian yang dialaminya selepas menjual pegangan saham dalam syarikat itu secara paksa, hampir 23 tahun lalu.

Menurut pernyataan tuntutannya, Halim selaku plaintif mendakwa, beliau diarah oleh Dr. Mahathir dan Nor Mohamed supaya tidak meneruskan pemerolehan 32.69 peratus saham Renong daripada United Engineers Malaysia Bhd (UEM).

Sebaliknya dakwa Halim, beliau dikehendaki menyokong inisiatif kerajaan melalui Khazanah Nasional Bhd. untuk mengambil alih UEM secara tawaran am.

Menurut pernyataan itu, UEM merupakan syarikat berprestij dengan beberapa aset bernilai tinggi seperti Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), ELITE Expressway, Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Intria Bina Sdn Bhd, Ho Hup Construction Sdn Bhd, Pharmaniaga Berhad dan Kualiti Alam Sdn Bhd, yang kesemuanya secara bersama menjana aliran tunai menghampiri RM1 billion setahun.

Menurut ahli perniagaan terkemuka itu, tindakan bersama kedua-dua defendan menyebabkan beliau hilang kawalan terhadap Renong serta kawalan secara tidak langsung dalam UEM.

Halim turut menyatakan, hak beliau sebagai pemegang saham dilucutkan ekoran pengambilalihan UEM oleh Khazanah menyebabkan saham Renong miliknya mengalami penurunan nilai.

Sehubungan itu, Halim menyatakan, ekoran pengambilan hak kukuh dan pelucutan haknya sebagai pemegang saham yang mengawal Renong, beliau tidak dibayar apa-apa pampasan.

Plaintif menyatakan, beliau dijanjikan sejumlah RM1.3 bilion antaranya meliputi wang tunai sebanyak RM325 juta.

Plaintif meletak jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Renong pada 3 Oktober 2001 dan turut meletak jawatan daripada syarikat-syarikat lain dalam Kumpulan UEM-Renong berkuat kuasa hari yang sama.

Pada 2013, Halim memfailkan saman RM1.8 bilion terhadap kerajaan, Khazanah dan Nor Mohamed selepas mendakwa beliau ditipu. Saman itu ditolak manakala rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada tahun 2015 turut diketepikan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI