fbpx

Piala Malaysia: JDT benam Negeri Sembilan di Paroi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bergson membuat percubaan ke gawang Negeri Sembilan dalam aksi suku akhir Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di Seremban malam ini.-Foto oleh MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN/ KOSMO!

SEREMBAN – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kemenangan selesa ke atas pasukan Negeri Sembilan FC dengan jaringan 3-0 dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dekat sini malam ini.

Arif Aiman Mohd. Hanapi meletakkan pelawat di depan pada minit ke-19 melalui rembatan deras yang gagal diselamatkan penjaga gawang, Muhammad Firdaus Irman Mohd. Fadhil.

Penyerang JDT, Bergson Gustavo Silveira Da Silva menjadikan kedudukan 2-0 melalui sepakan penalti selepas dia dijatuhkan oleh ketua pasukan tuan rumah, Nasrullah Haniff Johan pada minit ke-28.

Negeri Sembilan kemudiannya hampir merapatkan kedudukan tiga minit selepas itu, namun tandukan R. Barathkumar berjaya ditepis keluar penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Kehilangan tonggak pertahanan utama Negeri Sembilan, Herold Mark Goulon yang cedera pada penghujung separuh masa pertama tidak mematahkan semangat jentera pertahanan tuan rumah untuk bertahan daripada serangan bertali arus JDT pada separuh masa kedua.

Tuan rumah turut mendapat beberapa peluang lagi tetapi tindakan penyudah yang tumpul gagal menghasilkan sebarang gol.

Ketika permainan tampak kekal dengan jaringan 2-0, Bergson mencuri peluang menjaringkan gol ketiga yang berpunca daripada sepakan percuma di luar kotak penalti Negeri Sembilan pada minit akhir perlawanan.

Perlawanan suku akhir kedua di antara kedua-dua pasukan akan berlangsung pada 23 September depan di Stadium Sultan Ibrahim, di Iskandar Puteri, Johor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI