fbpx

Warga UCS gotong-royong hapus aedes sempena merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN warga UCS bergotong-royong mengutip sampah di sekitar kampus UCS di Puncak Alam, Selangor baru-baru ini.

NYAMUK aedes penyebab demam denggi boleh dihapuskan jika setiap orang memantau kawasan pembiakan makhluk berbahaya tersebut dengan memperuntukkan masa 10 hingga 20 minit setiap minggu di sekitar kediaman.

Bagi mengelakkan institusi pendidikan menjadi lokasi nyamuk aedes berkoloni dan menyebabkan demam denggi, pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor (UCS) mengambil inisiatif bergotong-royong menjelang sambutan kemerdekaan baru-baru ini.

Menurut pelajar Kursus Pendidikan (Senireka) UCS, Norbatrisya Lokman, 23, program gotong-royong bertujuan memerdekakan kampus daripada ancaman demam denggi itu dijayakan dengan sokongan semua pihak.

“Merdeka bererti bebas daripada penjajah.

“Begitu juga demam denggi, kita perlu hapuskan tempat bertakung bagi mengelakkan pembiakan jentik-jentik.

“Analoginya, kita membuang sampah sikit-sikit ibarat melakukan dosa kecil.

“Lama-kelamaan ia menjadi dosa besar apabila sampah mewujudkan tempat bertakung sehingga nyamuk aedes boleh membiak,” katanya.

Program Gotong-Royong Merdeka 2023 peringkat UCS di Puncak Alam itu dirasmikan oleh Timbalan Rektor (Penyelidikan dan Inovasi) Menjalankan Tugas-Tugas Rektor UCS, Prof. Ts. Dr. Asmah Awal.

Asmah menandatangani plak perasmian Kempen Kesedaran Amalan 3R sempena Program Gotong-Royong Merdeka 2023.

Sementara itu, seorang kakitangan Bahagian Pengurusan Fasiliti UCS, Nor Dahlia Alias, 42, berkata, bagi membebaskan masyarakat daripada ancaman aedes dan denggi, ilmu menghapus serta mencegah perlu dipelajari.

“Merdeka maksudnya kebebasan, hendak bebas aedes kita perlu belajar cara mengekang penularan nyamuk yang membawa maut daripada pihak berautoriti seperti Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

“Hari ini, saya dan warga UCS menyingsing lengan mengutip sampah dan memastikan longkang tidak tersumbat,” ujarnya.

Rakan sekerja Nor Dahlia, Erwan Hassan, 41, pula memberitahu, aedes boleh membiak di kawasan bersih dan tidak berbau.

“Ia menuntut setiap kakitangan UCS untuk menjadi seorang yang teliti dalam mengesan tempat pembiakan berpotensi.

“Apa yang lebih penting, kita memperuntukkan sedikit masa setiap minggu untuk memeriksa kawasan berair di persekitaran terutama di longkang dan atap bangunan.

“Jangan terlepas pandang setiap inci kawasan bertakung yang digemari aedes untuk membiak.

“Jadilah insan yang teliti dan fokus bagi melindungi orang tersayang,” jelasnya.

Sementara itu, Asmah berkata, seramai 100 warga UCS bergotong-royong membersihkan kawasan kampus dengan kerjasama MPKS dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Selangor.

Katanya, gotong-royong tersebut bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes sempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-66 tahun.

Asmah berkata, program bersifat pencegahan itu bukan sahaja diadakan sempena Hari Kebangsaan, tetapi serentak dengan Hari Nyamuk Sedunia yang disambut pada 20 Ogos pada setiap tahun.

“Program ini diadakan bukan sebab ada kes demam denggi.

“Sebaliknya, kami ingin memupuk semangat cintakan negara dan UCS sebagai zon bebas aedes kepada semua penghuni.

“Selain beriadah, kita boleh bekerjasama dan mengeratkan ukhuwah sesama warga UCS pada program sempena merdeka ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI