fbpx

Sembilan penguat kuasa ditahan terima rasuah sehingga RM7,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seramai 11 individu termasuk sembilan anggota penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bagi membolehkan tindakan undang-undang tidak diambil kepada pemilik bot.

Difahamkan, rasuah itu diminta daripada pemilik bot serta ‘runner’ sebagai balasan melindungi dan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bot-bot nelayan yang melakukan kesalahan bawah Akta Perikanan 1985.

Menurut sumber, kesemua 11 suspek berusia antara 30-an hingga 50-an itu dipercayai ditahan antara pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Alor Setar, Kedah.

“Dua orang awam ditahan dipercayai memberi rasuah sebanyak RM300 hingga RM7,000 kepada sembilan anggota penguat kuasa yang berkhidmat di Kuala Kedah, Batu Uban dan Langkawi.

“Kesemua anggota penguat kuasa terbabit dipercayai melakukan kesalahan tersebut dari tahun 2018 hingga 2021 selain ditahan kerana menerima rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi,” katanya tadi.

Jelasnya, dua orang awam itu pula ditahan atas kesalahan memberikan wang rasuah kepada anggota penguat kuasa terbabit.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan menyifatkan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Katanya, seramai lima suspek yang juga anggota penguat kuasa akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Alor Star, Kedah pukul 8 pagi esok.

“Manakala selebihnya dilepaskan atas jaminan SPRM selepas keterangan mereka diambil,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI