fbpx

SPR jangka lebih 70 peratus keluar mengundi di Pulai, Simpang Jeram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL GHANI meninjau persiapan para petugas menjelang PRK Parlimen Pulai, Simpang Jeram dk Menara MBJB, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jangka peratusan keluar mengundi mencecah lebih 70 peratus bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, esok.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh sehubungan itu menasihati pengundi untuk menyusun jadual mereka bagi memudahkan pergerakan keluar mengundi.

“Untuk sasaran peratusan keluar mengundi, kalau lihat trend terkini kita harap agar Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dapat lebih 70 peratus, walaupun sebelum ini agak rendah.

“Sehubungan itu, kita seru pengundi keluar beramai-ramai esok dan jangan lupa kad pengenalan masing-masing agar proses pengundian berjalan lancar.

“Jangkaan jumlah pengundi itu dibuat ekoran rasa tanggungjawab rakyat negara ini dalam memilih pemimpin, serta semangat tinggi yang ditunjukkan semasa kempen pihak-pihak bertanding selama ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses semakan akhir PRK Pulai di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini hari ini.

Tambah beliau, pihaknya juga berharap keputusan pengundian bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram akan diperoleh seawal pukul 9 malam, esok.

“Pilihan Raya sebelum ini kita keluarkan keputusan awal, jadi Insha-Allah selepas waktu isyak kalau tiada apa-apa aral, kita keluarkan keputusan awal,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Ghani turut mengingatkan pengundi untuk menyesuaikan waktu keluar mengundi dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Cuaca di Johor Bahru sehari dua ini kurang menentu, dua hari lepas hujan lebat dalam tempoh waktu panjang. Jadi kita harap orang ramai dapat lihat keadaan cuaca juga untuk keluar mengundi. Jika hujan sekejap turun sekejap berhenti, pandai-pandai suaikan diri,” tambahnya.

Untuk rekod, waktu mengundi adalah bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang, dengan sebanyak 294 jumlah saluran di 47 pusat mengundi di Parlimen Pulai, manakala 68 jumlah saluran di 14 pusat mengundi bagi DUN Simpang Jeram.

PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI