fbpx

Runtuhan kuari: Laporan penuh dalam tempoh sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sivanesan melawat tapak runtuhan batu kuari yang mengorbankan seorang pekerja warga asing di tapak kuari dekat Keramat Pulai di sini Selasa lalu. Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/KOSMO!

IPOH – Laporan penuh kejadian runtuhan batu kuari yang mengorbankan seorang pekerja warga asing di tapak kuari dekat Keramat Pulai di sini Selasa lalu, dijangka siap dalam tempoh sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A. Sivanesan berkata, hasil siasatan awal mendapati, kesemua prosedur operasi standard (SOP) bagi kerja-kerja pengoperasian kuari telah pun dipatuhi oleh pihak syarikat.

“Buat masa sekarang, kita tidak boleh tuduh siapa cuai, tunggu hasil siasatan. Laporan penuh kejadian ini akan siap antara tiga ke empat minggu lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi kejadian di sini hari ini.

Sivanesan memberitahu, semasa kejadian, terdapat empat pekerja termasuk mangsa yang juga pemandu jengkaut (excavator) berada di lokasi tersebut bagi menjalankan kerja-kerja memindahkan batu kuari.

Katanya, salah seorang pekerja yang menjadi ‘spotter’ dan berada di kawasan tinjau telah mengesan terdapat pergerakan dengan batu-batu kecil jatuh dan segera memberi amaran kepada tiga pekerja lain menerusi walkie-talkie untuk beredar.

“Ketiga-tiga mereka kemudiannya keluar dari jentera dan lari ke tempat selamat, namun mangsa berpatah balik ke jentera sebelum ditimpa runtuhan batu. Difahamkan, mangsa berpatah balik kerana mahu mengambil wang gajinya yang tertinggal,” katanya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, terdapat 63 kuari beroperasi di seluruh negeri dengan sembilan kejadian maut dilaporkan dalam tempoh tujuh tahun.

“Terdapat dua kemalangan maut dilaporkan pada tahun 2017, 2019 dan 2022 dan dalam tempoh bermula Januari sehingga kini, tiga kes maut telah dicatatkan.

“Kilang ini berjalan seperti biasa, tiada arahan tutup operasi dikeluarkan. Bagaimanapun kita menunggu laporan penuh sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 10.30 pagi Selasa lalu, seorang lelaki warga Pakistan, Sohail Sajjad, 36, maut akibat kecederaan parah selepas ditimpa runtuhan batu ketika menjalankan kerja-kerja memindahkan batu kuari.

Difahamkan, kawasan kejadian merupakan tapak kuari yang telah lama ditinggalkan di mana tiada kerja-kerja letupan dijalankan semasa kejadian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI