fbpx

KPM teliti peruntukan perolehan peralatan STEM, robotik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FADHLINA (belakang tengah) bergambar dengan murid dan pelajar yang akan mewakili negara ke Pertandingan World Robot Olympiad 2023 (WRO 2023) World Final di Panama City, Panama, November depan.

BATU PAHAT – Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti peruntukan bagi perolehan peralatan program pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan robotik dalam inisiatif belanjawan tahun hadapan.

Menteri KPM, Fadhlina Sidek berkata, penelitian peruntukan itu akan dibuat mengikut keperluan semasa sebagai langkah dibawah Inisiatif Pengukuhan Pendidikan STEM bagi menyokong aktiviti kokurikulum STEM dan robotik.

Ujarnya, langkah itu sebagai usaha untuk menjadikan generasi muda Malaysia berilmu, kreatif, kritis, inovatif dan inventif berdaya saing dalam kokurikulum berimpak tinggi.

“KPM sentiasa melihat kepada keperluan dan inisiatif, contoh apabila bercakap fasal pembudayaan STEM, jadi ia berkait rapat jugak dengan inisiatif, inisiatif ini mesti melalui unjuran-unjuran dan saya fikir bajet itu mesti mendapat sokongan.

“Untuk pembudayaan itu mesti mendapat inisiatif dan sokongan jadi, insya-Allah kita akan lihat perkara itu dan sudah pun menjadi perkara utama yang menjadi kiraan kita semasa belanjawan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan Pertandingan Robotik Kebangsaan Peringkat Akhir 2023 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini hari ini.

Pada inisiatif Belanjawan 2023, KPM telah memperuntukkan sejumlah RM5.8 juta bagi perolehan peralatan STEM dan robotik kepada 320 buah sekolah di seluruh negara.

Dalam majlis itu, lima buah pasukan terdiri daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Puay Chai 2, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Kwang Hwa, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua (CF), SMK Khatolik (M) dan SMK Tinggi Batu Pahat dinobatkan juara dalam tujuh kategori yang dipertandingkan.

Kejayaan itu sekali gus membolehkan pasukan-pasukan itu mewakili negara ke pertandingan World Robot Olympiad 2023(WRO 2023) World Final di Panama City, Panama pada 7 hingga 9 November depan.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pembekalan set peralatan robotik ke sekolah rendah dan menengah telah memberi peluang murid serta pelajar melalui proses pengajaran dan pembelajaran secara terus dalam bilik darjah selain semasa kegiatan kokurikulum.

Pertandingan Robotik Kebangsaan atau National Robotics Competition (NRC) merupakan satu daripada program STEM khusus untuk murid sekolah rendah dan menengah berusia antara 7 sehingga 19 tahun.

Sebanyak 12 kategori dipertandingkan pada NRC kali ini yang disertai 5,625 murid dan pelajar terdiri daripada 1,875 pasukan sekolah rendah serta menengah yang mewakili pasukan terbaik negeri seluruh negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI