fbpx

Kertas siasatan ucapan Abdul Hadi dirujuk AGC hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Hadi.

KUALA LUMPUR – Polis telah menyerahkan kertas siasatan ucapan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dipercayai mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas parti itu di Bakri, Muar, bulan lalu ke Jabatan Peguam Negara (AGC).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan tersebut sudah dilengkapkan sebelum diserahkan pada pagi tadi.

“Siasatan keatas Tan Sri Abdul Hadi diedarkan ke AGC pada pagi tadi.

“Kita masih menunggu tindakan atau arahan selanjutnya daripada AGC,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Symposium Forensik Kebangsaan kali ke-4 tahun 2023, di Maktab Polis Diraja Malaysia, di sini, hari ini.

Terdahulu, Abdul Hadi dalam ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) Johor di Bakri dipercayai menyentuh bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah tidak sesuai ajaran Islam.

Isnin lepas, Abdul Hadi selesai memberikan keterangan kepada pihak polis susulan ucapannya itu.

Pertemuan antara beliau dan pegawai polis berlangsung selama satu jam di Pejabat Agung Pas, di sini, bermula pukul 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Dalam perkembangan lain, Razarudin memaklumkan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah lengkap dan diserahkan kepada AGC, Selasa lepas.

Difahamkan, kertas siasatan tersebut merujuk kepada ucapan Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa bahawa Raja-Raja Melayu telah “menyerahkan negeri mereka”, semasa zaman penjajahan British, untuk kekal berkuasa dan gelaran “raja”. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI