fbpx

Cipta 10 protaip robotik, pasukan SMK Chung Hwa, Miri terpilih wakili negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN SMK Chung Hua, Miri muncul juara kategori Robomission Pro Sekolah Menengah Atas dalam Pertandingan Robotik Kebangsaan Peringkat Akhir di UTHM, Batu Pahat, hari ini.

BATU PAHAT – Usaha keras sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua, Miri, Sarawak mencipta 10 buah prototaip robot membuahkan hasil apabila mereka dinobatkan sebagai juara kategori Robomission Pro Sekolah Menengah Atas dalam pertandingan Robotik Kebangsaan Peringkat Akhir Tahun 2023, hari ini.

Kejayaan yang dicipta Bryan Lai Wen Le, 16, dia bersama dua rakannya Ngu Eng Chyi, 16 dan Jack Hii Lu Jie, 17, itu sekali gus melayakkan pasukannya mewakili negara bersama empat lagi pasukan ke pertandingan World Robot Olympiad (WRO) 2023 di Panama, November depan.

Menurut Wen Le, 16, mereka mengambil masa hampir enam bulan untuk menyiapkan projek robotik yang berkonsepkan pengangkutan logistik yang diberi nama ‘Autonomus Port’.

Katanya, walaupun terpaksa membuat sehingga 10 prototaip dan hampir berputus asa namun kerana minat dan bercita-cita mahu menunjukkan hasil kerjanya bersama dua rakanya di pentas antarabangsa, ianya tetap teruskan.

“Projek mencipta robotik ini turut mendapat sokongan daripada ibu bapa kami selain mendapat dokongan daripada guru pembimbing projek ini iaitu Cikgu Yong Hong Then.

“Saya bersyukur dan gembira apabila kami dipilih untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan World Robot Olympiad (WRO) 2023 di Panama, November depan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada pertandingan itu di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), hari ini.

Terdahulu, Menteri Pendidikan (KPM), Fadhlina Sidek menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Robotik Kebangsaan Peringkat Akhir Tahun 2023.

Selain pasukan SMK Chung Hua, empat lagi pasukan adalah dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Puay Chai 2, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Kwang Hwa, SMK Khatolik (M) dan SMK Tinggi Batu Pahat.

Jelas Wen Le lagi, dia mempunyai misi yang tersendiri iaitu untuk menjadi juara pada kategori yang disertainya selain mahu mengharumkan nama negara di pantas antarabangsa dengan menunjukkan pelajar Malaysia mempunyai daya kreativiti dan inovasi yang setanding dengan negara maju.

Sementara itu, bagi Guru Mentor Pertandingan Robotik yang juga guru SMK Katholik (M) Petaling Jaya itu, Nur Izzati Mohd. Sukri pertandingan robotik ini perlu diadakan setiap tahun dan perlu diperluaskan ke kawasan luar bandar dan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar atau pelajar aliran sains sahaja.

“Ia selaras dengan objektif utama penganjuran yang akan memupuk minat pelajar terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), selain mengasah kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dan kemahiran menyelesaikan masalah secara kreatif,” katanya.

Pertandingan Robotik Kebangsaan atau National Robotics Competition (NRC) merupakan satu daripada program STEM khusus untuk murid sekolah rendah dan menengah berusia antara 7 sehingga 19 tahun.

Sebanyak 12 kategori dipertandingkan pada NRC kali ini yang disertai 5,625 murid dan pelajar terdiri daripada 1,875 pasukan sekolah rendah serta menengah yang mewakili pasukan terbaik negeri seluruh negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI