fbpx

Bekas OCPD mengaku tidak bersalah terima rasuah RM70,600

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH dibawa keluar dari mahkamah selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Seorang pegawai polis yang juga bekas Ketua Polis Daerah (OCPD) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 46 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM70,600 selama empat tahun mulai 2019.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd. Azhar Mohd Yusoff, 53, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan termasuk 46 pertuduhan pilihan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut kertas pertuduhan bagi kedua-dua pertuduhan dan pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara 7 Mac 2019 hingga 22 September 2022 melalui transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank milik tertuduh yang diketahui mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh sebagai pegawai kanan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

Tertuduh didakwa menerima suapan antara RM100 sehingga RM5,600 daripada beberapa individu sebagai dorongan melindungi pihak terbabit supaya tidak dikenakan apa-apa tindakan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) atas pelbagai kesalahan seperti melindungi perniagaan refleksologi kaki, melindungi syarikat menggajikan pekerja asing, dan melindungi perniagaan yang beroperasi lebih masa.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Feisal Mohd Azmi, Rasyidah Murni Azmi dan Rifah Izzati Abdul Mutalif memohon tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM40,000 bagi kesemua pertuduhan yang dilakukan selain syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan meminta tertuduh atau agen tertuduh tidak mengacau ganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Datuk Bob S. Arumugam memohon agar jaminan ke atas tertuduh dikurangkan kepada RM20,000 mengambil kira latarbelakang tertuduh yang telah berkhidmat selama 30 tahun dalam PDRM.

“Tertuduh merupakan seorang pegawai kanan polis dengan jawatan akhirnya adalah sebagai Pegawai Polis Daerah sebelum ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan.

“Tertuduh tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tatatertib selain merupakan salah seorang pemain rugbi bagi pasukan PDRM.

“Selain itu, tertuduh juga telah berkahwin dan isteri tertuduh kini berada dalam keadaan tidak sihat kerana menjalani pembedahan. Tertuduh telah berjanji untuk akur dengan segala arahan mahkamah selain tidak ada sebarang kemungkinan untuk tertuduh melarikan diri,” ujarnya.

Selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan rayuan dari pihak peguam bela, hakim memutuskan agar tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM25,000 bercagar dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga diarahkan untuk menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, di minta untuk melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat bermula September selain tertuduh dan agen tertuduh diarahkan untuk tidak mengacau ganggu saksi pendakwaan sehingga perbicaraan selesai.

Mahkamah memutuskan 15 November sebagai tarikh penyerahan dokumen dan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI