fbpx

96 pasukan berentap dalam Karnival Ragbi Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOORAZAM (tengah) bergambar bersama-sama para penaja Karnival Ragbi Johor di Hotel Berjaya Waterfront, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Sebanyak 96 pasukan telah mengesahkan penyertaan dalam Karnival Ragbi Johor edisi ke-11 yang akan berlangsung di Stadium Ragbi Johor, Mount Austrin, di sini pada 15 hingga 17 September ini.

Presiden Kesatuan Ragbi Johor (JRU), Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, pasukan itu disertai bukan sahaja pasukan dari negeri Johor malah datang dari Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang dan Melaka.

“Bagi edisi kali ini, tiga kategori lelaki akan dipertandingkan berdasarkan peringkat umur, iaitu Piala Datuk Bandar (bawah 16 tahun), Piala JCorp (bawah 14 tahun) dan Piala Milo (bawah 11 tahun) serta Piala Milo (bawah 16 tahun) untuk perempuan,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Berjaya Waterfront, di sini hari ini.

Noorazam yang merupakan Datuk Bandar Johor Bahru memberitahu, juara bagi kategori lelaki 16 tahun dan 14 tahun, masing-masing bakal menerima hadiah wang tunai RM2,000 serta piala, manakala kategori lelaki 11 tahun dan perempuan 16 tahun ialah RM1,000 serta piala.

Beliau berkata, karnival tersebut adalah yang pertama diadakan selepas kali terakhir pada 2019, sebelum negara dilanda Covid-19 yang bertujuan merakyatkan lagi sukan ragbi di negara ini, khususnya dalam kalangan rakyat Johor.

Menurutnya, beberapa pemain senior pasukan Johor termasuk pemain import dari Fiji dan Uzbekistan akan mengadakan sesi bertemu peminat bagi memeriahkan lagi karnival tersebut yang turut mendapat kerjasama daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Sukan Negeri Johor dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor.

Pada majlis tersebut, Noorazam turut menerima tajaan daripada para penaja termasuk daripada syarikat Detik Hartamas Sdn. Bhd., sebagai penaja utama, Johor Corporation (JCorp), Safwa Global Venture (M) Sdn. Bhd., Nestle (M) Sdn. Bhd., Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan KFC Malaysia.

KPJ Healthcare (M) Bhd., pula merupakan penaja perubatan, manakala Rugger District Berhad dan AST Sport adalah penaja pakaian kejohanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI