fbpx
Sebahagian warga asing selamba membuka perniagaan di kaki lima hingga menjadi tempat berkumpul rakan senegara di ibu negara baru-baru ini.

Peniaga warga asing kuasai bisnes di kaki lima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kemunculan peniaga warga asing di beberapa lokasi tumpuan semakin berleluasa hingga menimbulkan pelbagai persoalan dan keresahan apabila mereka kini dilihat seakan menguasai perniagaan di kaki lima.

Antara yang dijual termasuk pakaian, barangan runcit, hiasan, buah-buahan, sayuran-sayuran dan barang basah seperti daging.

Tinjauan Kosmo! mendapati, kawasan di Jalan Yap Ah Loy dan Jalan Tun Tan Siew Sin di sini langsung tiada kelibat peniaga tempatan di sepanjang 20 gerai yang dilalui.

Apa yang menjadi persoalan ialah terdapat sebahagian warga asing selamba membuka gerai tanpa lesen di kaki lima.

Seorang peniaga yang ditemui berkata, dia telah lama menjalankan perniagaan barangan hiasan dan lain-lain secara haram.

“Sudah lama saya berniaga dan selalu mengubah lokasi mengikut keadaan semasa. Kebanyakan pelanggan merupakan pelancong dan mereka ini mampu membeli tanpa banyak soal hingga saya peroleh pendapatan lumayan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak berniaga setiap hari bagi mengelak ditangkap dan hanya keluar pada masa tertentu yang diketahui ‘bebas’ untuk berniaga.

Tambahnya, setakat ini dia tidak pernah ditangkap atau dihalau sepanjang berniaga di situ.

Seorang peniaga buah-buahan dikenali sebagai Mahmud mendakwa, dia hanya menjaga gerai yang dimiliki oleh lelaki tempatan.

Katanya, tauke akan menguruskan bekalan untuk dia susun dan jual di gerainya.

“Tauke ada berniaga barang lain dan dia hanya datang pantau setiap hari. Saya dan beberapa rakan telah dua tahun bekerja dengan gaji lumayan,” katanya.

Seorang jurujual di Jalan Yap Ah Loy berkata, dia sudah lebih empat tahun bekerja bersama pekerja Bangladesh, Pakistan, Rohingya dan Indonesia untuk menjual sayur, barang basah, daging dan ikan.

Katanya, kebanyakan tauke suka mengambil mereka bekerja kerana upah murah, rajin dan boleh diharap berbanding pekerja tempatan selain boleh bekerja lebih masa mengikut keperluan.

Sementara itu di George Town, ratusan kedai runcit di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Bukit Jambul, Relau, Jelutong, Batu Maung, Bayan Lepas, Balik Pulau Teluk Bahang, Taman Pelangi, Taman Nagasari, pekan Bukit Mertajam, Bagan Ajam, Bagan Dalam dan Butterworth diuruskan oleh warga ­asing sama ada isteri tauke, penolong pengurus dan sebagainya.

Seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Sophian, 33, berkata, apa yang diragui ialah kelibat majoriti pekerja warga asing yang berada di sesebuah premis tanpa kehadiran tauke.

“Nampak macam kedai runcit tetapi ia seperti pasar raya yang menghimpunkan pelbagai produk termasuk barangan bersubsidi seperti minyak peket, tepung dan gula. Ada juga produk dari negara mereka seperti selimut, cadar, makanan, bagasi dan kosmetik.

“Bagaimana mereka boleh jual sedangkan peniaga tempatan perlu ikut undang-undang,” katanya.

Sementara itu di Seberang Perai, Abdullah, 51, berkata, rata-rata penghuni flat di Perai terdiri daripada warga Indonesia dan Rohingya yang berkahwin de­ngan warga tempatan.

“Jumlah mereka bertambah selepas ada kedai runcit hingga menimbulkan masalah kepada peniaga tempatan. Memang mereka rajin tetapi jika semua dibolot, masalah pula kepada peniaga tempatan.

“Kami bukan iri hati, tetapi dalam banyak-banyak tu, mesti ada yang tiada lesen,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN