fbpx

Kereta penyeludup bawa 30 tong diesel terbabas dalam HUSM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kereta yang membawa sebanyak 30 tong diesel yang dipandu suspek terbabas di dalam HUSM, Kubang Kerian hari ini.

KOTA BHARU – Sebuah kereta dipandu seorang penyeludup yang membawa 30 tong minyak diesel terbabas di depan Pejabat Pembangunan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, di sini hari ini selepas dikejar kereta unit peronda polis (MPV) sejauh lebih 12 kilometer.

Kereta Proton Gen 2 itu terbabas kira-kira pukul 12 tengah hari ketika pemandunya cuba meloloskan diri daripada ditahan anggota unit MPV.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, suspek berusia 29 tahun ditahan hasil bantuan orang ramai yang berada di lokasi kejadian.

Menurutnya, sebelum kejadian, pihak MPV menerima arahan dari Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok untuk memberi bantuan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi menahan sebuah kereta.

“Anggota MPV melihat sebuah kereta jenis Proton Gen 2 berwarna hitam melalui jalan dari arah Melawi ke Beris Kubur Besar, Bachok.

“Bagaimanapun, pemandu kereta terbabit enggan memberi kerjasama dan melarikan diri ke kawasan HUSM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Ismail memberitahu, kereta tersebut bagaimanapun, terbabas di hadapan Pejabat Pembangunan HUSM.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di dalam kereta itu kemudiannya menjumpai sebanyak 30 tong minyak diesel yang dipercayai akan diseludup ke negara jiran.

“Semakan mendapati, suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkait kes dadah. Kesemua barangan kes dirampas dibawa ke Ibu Pejabat KPDN untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI