fbpx

Hina Sultan Selangor, ‘Iman Mustaqim’ dituduh esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan yang mengendali akaun Facebook ‘Iman Mustaqim’ akan dihadapkan ke mahkamah esok, ekoran perbuatannya memuat naik hantaran berbaur penghinaan terhadap Sultan Selangor.

Difahamkan, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman akan membuat pertuduhan terhadap lelaki berusia 47 tahun itu di Mahkamah Sesyen Jenayah 4, Mahkamah Siber, Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 8.30 pagi esok.

Suspek dituduh mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 249 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan polis menahan dua individu selepas dipercayai memuat naik hantaran di media sosial yang disyaki berbaur penghinaan terhadap institusi diraja.

Kedua-dua lelaki lelaki tempatan berusia 41 tahun dan 47 tahun itu diberkas di dua lokasi berasingan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek pertama ditahan berhubung hantaran berbaur penghinaan terhadap Institusi Diraja Johor.

Tambah beliau, tangkapan kedua pula melibatkan hantaran mengandungi kenyataan menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Suspek pertama merupakan lelaki tempatan berusia 41 tahun yang dipercayai pemilik dan pengendali akaun Facebook Flat Earth Malaysia ditahan di Kampung Sungai Kati, Ipoh, Perak.

“Sementara itu, tangkapan kedua melibatkan lelaki tempatan berusia 47 dipercayai pemilik dan pengendali akaun ‘Iman Mustaqim’ yang diberkas di sebuah kawasan di Langkap, Perak,” katanya dalam kenyataan pada 31 Ogos lalu.

Jelas Mohd Shuhaily, kedua-dua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Sabtu ini.

“Kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujarnya.

Sehubungan itu, Mohd. Shuhaily menggesa orang ramai menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah serta elakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan terutamanya melibatkan isu agama, kaum dan Institusi Diraja (3R). – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI