fbpx

Mahkamah: Syukur bebas daripada pertuduhan – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (tengah) ketika ditemui media selepas prosiding kes. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa syukur selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas tanpa membebaskannya 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid, 70, berkata, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada barisan peguam dan kepimpinan UMNO yang bersama bagi memberikan sokongan moral.

“Saya telah diputuskan oleh hakim untuk dilepaskan, namun ia tidak dibebaskan kerana Suruhanjaya Siasatan Diraja belum memuktamadkan siasatan terhadap buku yang ditulis oleh bekas peguam negara, (Tan Sri) Tommy Thomas,” katanya ketika ditemui di lobi Mahkamah Tinggi di sini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid juga mengucapkan penghargaannya kepada kepimpinan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang turut memberikan sokongan.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi memutuskan Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan atas 47 pertuduhan tersebut.

Sementara itu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik ketika ditemui berkata, pihak pembelaan akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan bagi pembebasan penuh (lepas dan bebas).

Terdahulu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan.

Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar menggariskan 11 alasan bagi menyokong permohonan agar Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan bagi semua 47 pertuduhan.

Antara alasan itu termasuk pihak pendakwaan perlu mengkaji keterangan saksi-saksi pada perbicaraan itu serta bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut terhadap bukti baharu yang dikemukakan oleh Ahmad Zahid.

Alasan lain menyentuh isu yang dibangkitkan dalam representasi bahawa pendakwaan dibuat secara cuai dan terburu-buru serta beliau menjadi mangsa pendakwaan terpilih kerajaan terdahulu.

Presiden UMNO itu dihadapkan ke mahkamah pada 2018 manakala perbicaraan bermula pada 2019 dengan mendengar keterangan 99 saksi pendakwaan.

Pada April lalu, Ahmad Zahid telah mengemukakan representasi kepada AGC mengandungi fakta dan bukti baharu dalam usaha menggugurkan 47 pertuduhan itu.

Sebelum ini, pihak pendakwaan memaklumkan pihaknya memerlukan masa yang mencukupi bagi meneliti representasi melebihi 200 muka surat yang mengandungi isu kompleks berkaitan pertuduhan.

Pada masa sama, representasi itu turut disertai surat bertarikh 20 Februari lalu daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang memaklumkan agensi itu melakukan siasatan lanjut terhadap fakta dan bukti baharu yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI