fbpx
FIRDAUS memiliki hampir 30,000 komik yang disimpan dalam sebuah bilik khas di rumahnya di Ukay Perdana, Ampang, Selangor.- Foto Syakir Radin

Firdaus cipta rekod Malaysia kumpul 29,922 naskhah komik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM ingatan Muhammad Firdaus Abd. Halim, ibu bapanya akan membeli komik Doraemon untuk dijadikan bahan bacaan ketika masa terluang sewaktu zaman kanak-kanak.

Apabila memasuki alam persekolahan, dia mula menyimpan wang saku sekolah untuk membeli komik.

Kini, apabila telah meningkat dewasa dan mempunyai keluarga sendiri, lelaki yang mesra disapa Firdaus itu masih membeli komik untuk disimpan.

“Komik-komik ini memberi nostalgia zaman kecil kepada saya.

“Kini apabila sudah dewasa, saya mula mengumpul kembali komik-komik yang ketika kecil mungkin saya tidak dapat miliki,” katanya yang kini berusia 38 tahun.

Tambahnya, antara komik dalam simpannya termasuk Mutiara Naga, Doraemon, Detektif Conan, One Piece dan banyak lagi.

Komik-komik yang dikumpulnya itu merangkumi pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu, bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris.

Minatnya dalam mengumpul koleksi komik ternyata telah memberi kenangan manis buat Firdaus apabila dia telah mendapat anugerah The Malaysia Book Of Records (MBR) baru-baru ini.

Dia telah diiktiraf sebagai pengumpul komik terbanyak di Malaysia buat masa ini.

Jumlah komik yang berada dalam simpanan Firdaus bagi membolehkannya memecah rekod itu adalah sebanyak 29,922 naskhah.

Mengulas tentang pencapaian itu, Firdaus menjelaskan, hasil pemerhatiannya mendapati bahawa masih belum ada yang melakukan rekod tersebut di Malaysia.

“Atas sebab itu, saya mengambil keputusan memohon kepada MBR untuk menjadi orang pertama di Malaysia melakukan rekod ini.

“Permohonan saya berjaya dan menjadi individu pertama yang memegang rekod pengumpul komik terbanyak di Malaysia buat masa ini,” jelasnya yang bekerja sebagai Pengurus Operasi Syif di Northport (M) Berhad.

FIRDAUS menunjukkan sijil The Malaysia Book of Records yang mengiktirafnya sebagai pengumpul komik terbanyak di Malaysia ketika ini.

Tambahnya, dia berharap tindakannya itu sedikit sebanyak akan mempromosikan budaya membaca yang semakin pudar ketika ini.

Untuk makluman, Firdaus serius mengumpul komik sejak tahun 2017.

Pada ketika itu, dia baru menyertai kumpulan jual beli komik di Facebook, sekali gus membangkitkan nostalgia zaman kanak-kanaknya.

“Ketika kecil, saya tidaklah selalu mengumpul komik ini dan hanya membelinya jika ada lebihan wang.

“Namun pada 2017, setelah bekerja dan ada wang sendiri, saya mula serius menjadi pengumpul komik,” katanya yang merupakan graduan lulusan Universiti Malaya dalam bidang biologi.

Sementara itu, koleksi sebenar komik dalam simpanan Firdaus adalah lebih daripada 30,000 naskhah.

Ini kerana di kampungnya di Ipoh, Perak masih terdapat komik yang disimpannya sewaktu kecil.

Dia tidak mengira komik tersebut sekali sewaktu mencipta rekod MBR.

Untuk rekod tersebut, dia hanya mengira koleksi komik yang terdapat di kediamannya di Ukay Perdana, Ampang, Selangor.

Firdaus menganggarkan, kesemua komik simpanannya bernilai hampir RM450,000 andai dihitung dalam bentuk wang.

“Ini jika kita mengambil kira satu naskhah komik berharga RM15.

“Tetapi jumlah sebenarnya mungkin lebih daripada itu.

“Ini kerana, ada komik yang saya simpan kini nilainya mencecah RM1,000 senaskhah,” terangnya.

Sementara itu, Firdaus memiliki sebuah komik yang telah berusia lebih 35 tahun.

“Saya ada sebuah komik bertajuk Singa Ganas yang diterbitkan pada tahun 1988.

“Buat masa sekarang, komik inilah yang paling lama saya ada,” terangnya.

ANTARA komik koleksi Firdaus.

Dalam pada itu, komik termahal yang pernah dibeli Firdaus adalah berharga RM500.

Kini, harga pasaran komik itu jika dijual semula adalah sekitar RM1,200.

Apa yang membuatkan komik itu berharga adalah kerana bahan bacaan tersebut sukar dicari dan sudah tidak diterbitkan lagi.

“Ia menjadi satu kesukaran buat saya kerana banyak komik tidak diterbitkan lagi.

“Seingat saya, kini hanya ada satu syarikat sahaja yang masih aktif terbitkan komik.

“Komik-komik yang saya simpan kebanyakan saya beli atas tangan orang, tapi kondisinya masih baik,” katanya.

Bagi mendapatkan koleksi komik yang masih belum ada, Firdaus turut membelinya dari Amerika Syarikat dan United Kingdom melalui platform eBay.

Selain itu, dia sanggup pergi ke Singapura semata-mata untuk membeli komik bagi menambah koleksi simpanannya.

Antara cabaran yang dihadapinya apabila mendapatkan komik dari luar negara adalah tukaran mata wang asing.

Mata wang negara kita yang tidak berapa ‘kuat’ memaksanya membayar dalam jumlah mahal untuk mendapatkan komik-komik tersebut.

Bagi menyimpan komik-komiknya, Firdaus menyediakan sebuah bilik khas di rumahnya.

Dia juga mengakui, antara cabaran utama dihadapi adalah untuk menjaga kondisi komik supaya sentiasa berada dalam keadaan baik.

Menurutnya, kebanyakan komik yang ada dalam simpannya berusia melebihi 20 tahun dan ia perlu dijaga dengan baik kerana bahan bacaan itu mudah rosak.

“Komik-komik ini sebenarnya tidak boleh terkena cahaya matahari.

“Jika komik ini terdedah kepada cahaya matahari setiap hari, ia akan pudar.

“Oleh itu, bilik yang saya guna untuk simpan komik-komik ini sentiasa ditutup,” katanya.

Tambahnya, setiap enam bulan sekali, dia akan memanggil pihak yang menyediakan perkhidmatan mengawal anai-anai.

Ujarnya, ia bagi mengelakkan komik-komik dalam simpanannya musnah diserang haiwan perosak tersebut.

Buat masa ini, semua komik-komik yang disimpan oleh Firdaus dijaga dengan baik dan berada dalam kondisi sempurna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN