fbpx

Penjaja kecil dinasihat daftar perniagaan dengan SSM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fuziah (tiga dari kiri) pada Program Jualan Rahmah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Anak Bukit, Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Golongan penjaja kecil dinasihatkan agar segera mendaftar perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menjelang pelaksanaan subsidi bersasar oleh kerajaan, tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, langkah itu bagi membolehkan penjaja tetap menerima manfaat barangan bersubsidi seperti minyak masak peket apabila langkah tersebut dilaksanakan tahun depan.

Katanya, ketika ini kebanyakan pemain industri mikro ‘takut’ untuk mendaftarkan perniagaan mereka kerana bimbang perlu membayar cukai.

“Golongan peniaga ini sebenarnya tidak perlu bimbang kerana mereka tidak semestinya perlu membayar cukai sekiranya pendapatan tidak mencapai tahap tertentu yang memerlukan mereka berbuat demikian.

“Sebaliknya golongan itu hanya perlu membuat laporan tahunan saja. Hakikatnya pendaftaran perniagaan ini penting bagi memberi manfaat kepada mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan ‘walkabout’ pada Program Jualan Rahmah  di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Anak Bukit, dekat sini hari ini.

Kata beliau, tindakan sedemikian akan memudahkan pihaknya melengkapkan data mengenai isi rumah yang layak menerima barangan bersubsidi tersebut.

Terdapat kira-kira sejuta pemain industri mikro di negara ini dengan kebanyakan mereka dikatakan masih belum berdaftar dengan SSM.

Mengulas lanjut Fuziah berkata, kalangan peniaga itu tidak perlu runsing untuk mendaftar perniagaan kerana SSM boleh membantu golongan B40 untuk berbuat demikian secara percuma.

“Apa yang kita perlukan sekarang adalah data lengkap bagi memastikan golongan yang benar-benar layak untuk menerima subsidi bersasar tersebut. Sebab itulah peniaga-peniaga ini perlu mendaftar agar mereka tidak tercicir daripada menerima manfaat.

“Setakat ini dianggarkan sebanyak 5.8 juta isi rumah layak menerima subsidi bersasar minyak masak peket,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI