fbpx

Prolintas taja naik taraf pusat penjagaan kanak-kanak Penjara Wanita Kajang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wakil daripada UKM, Jabatan Penjara Malaysia dan penaja-penaja Projek C.I.N.T.A. CARE di pusat penjagaan anak-anak penghuni Penjara Wanita Kajang.

KUALA LUMPUR – Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) tampil sebagai salah satu penaja bagi Projek Cradle for Inclusive Nurturing and Teaching Atmosphere (C.I.N.T.A CARE) bagi menaik taraf pusat penjagaan anak-anak penghuni Penjara Wanita Kajang yang berusia kurang tiga tahun.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) diterajui oleh alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu bertujuan mewujudkan persekitaran kondusif dan selamat bagi anak-anak penghuni penjara terbabit sekali gus meningkatkan kesejahteraan fizikal, mental dan emosi penghuni secara keseluruhan.

“Bagi projek ini, kami telah menaja permainan dinding berbongkah lego BrickMatrix LEGO Artwork bagi merangsang kreativiti dan meningkatkan perkembangan kognitif kanak-kanak.

“Selain itu, turut memberi pendedahan awal untuk pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) kepada mereka.

“Kemudahan itu selari dengan konsep reka bentuk moden dan amalan terbaik penjagaan kanak-kanak yang ingin diterapkan di pusat penjagaan berkenaan termasuk penyediaan ruang montessori, bahan pendidikan, televisyen, ruang tidur serta ruang penyusuan khusus yang bersih dan selesa,” jelas beliau.

Menurut beliau, projek itu juga diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia (UNESCO Malaysia).

Tambahnya, Prolintas sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana organisasi demi usaha murni sedemikian dan akan terus mencari peluang bagi membantu golongan memerlukan.

Ujarnya, ia selari aspirasinya untuk menjadi penyedia lebuh raya yang prihatin selain terus menambah baik kualiti perkhidmatan lebuh raya dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI