MASIH dalam proses membiasakan diri dengan kehidupan sebagai ibu tunggal, Diana Danielle bertegas tidak akan sesekali mengenepikan kepentingan Farid Kamil sebagai bapa anak-anaknya.
Memegang portfolio sebagai ibu tunggal pada usia muda juga bukanlah satu perjalanan yang mudah untuk ditempuh.
Perceraian juga bukanlah pengakhiran yang diimpikan setiap pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga, namun sebagai manusia, itulah pahit kehidupan yang harus ditelan walau perit rasanya. Akhirnya, reda menjadi ‘makanan’.
Pendekatan sama dijalani Diana Danielle ketika ini selepas bercerai dengan Farid Kamil pada 10 Ogos lalu.
Pada detik tersebut, bermulalah lembaran kehidupan baharu buat pemilik nama penuh Diana Danielle Danny Beeson yang juga merupakan ibu kepada dua orang cahaya mata, Muhammad dan Nur Aurora.
Masih mencari rentak dan dalam fasa membiasakan hidup solo, Diana bagaimanapun bertegas, membesarkan anak adalah tanggungjawab yang harus dilunaskan bersama dengan Farid.

Anak
“Saya tidak berseorangan kerana masih ada Farid yang akan membesarkan anak bersama walaupun sudah tidak lagi sebumbung.
“Saya percaya dia seorang bapa yang baik. Muhammad dan Aurora adalah anak kami, justeru proses ini akan membuatkan kami akan bekerjasama sebagai satu pasukan,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Meneruskan bicara tanpa berkongsi lanjut mengenai perihal hak lawatan anak, Diana berkata, semuanya diatur mengikut struktur dan budi bicara antara satu sama lain.
“Ketika ini, kami susun secara berstruktur (penjadualan), sebab kalau ada pelanggaran, nanti jadi masalah lagi. Jadi, kena ada struktur untuk dijadikan landasan.
“Saya tak mahu timbul isu berebut anak dan hanya itu yang boleh saya kongsikan buat masa ini.
“Berilah kami ruang untuk mencari momentum sebab ketika ini adalah fasa baharu bagi mencari keseimbangan dan sesuaikan diri,” jelas wanita berusia 32 tahun itu.
Sangat menjaga privasi, Diana menyifatkan setiap komunikasinya dengan Farid sebagai hal peribadi yang tidak perlu dikongsi kepada umum.

Baginya, pendekatan sebegitu penting bagi mengelak timbul sebarang perselisihan faham, sekiranya terlalu berkongsi mengenai komunikasi antara mereka.
“Setiap komunikasi adalah mengenai anak-anak, tak perlulah semua benda nak cerita pada orang ramai.
“Farid memiliki nama besar, orang hormat dia dan saya. Saya tak mahu isu-isu berkaitan peribadi membuatkan orang rasa hilang hormat kepada kami.
“Justeru, saya ambil langkah untuk tidak berkongsi kerana semuanya akan bagi kesan kepada anak-anak dan keluarga. Kalau kami berhubung balik atau apa, biarlah secara tertutup,” jelasnya.
Sementara itu, Diana mengakui membaca setiap komen termasuk gosip sensasi berkaitan kemelut rumah tangganya yang menjadi sorotan umum sejak beberapa bulan lalu.
“Saya baca cerita dan komen netizen. Saya nak tahu apa yang saya katakan supaya boleh perbaiki jika ada salah.
“Adakalanya agak terganggu juga dan saya juga manusia biasa, menyakitkan. Perkara yang saya boleh buat hanyalah hadam dan hadap sahaja,” kongsinya.

Nyanyian
Tolak ketepi cerita peribadi, bintang Hanyut yang mahu memberi fokus ke arah usaha mengembangkan sayap sebagai seorang penyanyi itu bagaimanapun mengakui, kecintaan terhadap lakonan tidak pernah pudar.
Jelasnya, bidang nyanyian merupakan satu bidang yang amat diminati sejak kecil.
“Ketika ini, saya dalam transisi menjadi penyanyi tetapi tidak bermakna membuang terus kerjaya lakonan.
“Sekarang memang saya jarang berlakon dan buat masa ini ingin fokus 100 peratus terhadap nyanyian,” katanya yang kini muncul dengan lagu baharu berjudul Bersama Dengan Rindu.
Percaya tiada jalan pintas, Diana juga bersedia menempuh segala cabaran demi bergelar penyanyi berkaliber.
Bagi merealisasikan impian tersebut, dia berusaha untuk mengubah persepsi dan meyakinkan orang ramai mengenai kemampuan sebenar dirinya.
“Tak mahu perasan bagus, jadi saya pergi ke kelas vokal untuk memperbaiki kualiti vokal.
“Dalam masa sama, saya juga melatih diri untuk mengawal ‘stage fright’ setiap kali membuat persembahan,” ujarnya yang merancang untuk memiliki sebuah album, selewat-lewatnya tahun depan.

Lagu patah hati
Lapan tahun tidak muncul menerusi buah tangan patah hati, Diana menolak jalan cerita lagu Bersama Dengan Rindu ada kaitan kisah peribadinya.
Kongsi Diana, hatinya terbuka untuk merakam lagu tersebut selepas mendengar melodi dan liriknya.
“Liriknya mempunyai makna yang sangat mendalam, memang meninggalkan impak emosi.
“Manakala melodinya juga sedap didengar. Muziknya sangat mudah melekat dalam kepala selepas mendengar,” ungkapnya.

Jelasnya, pelancaran lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh Ezra Kong bawah terbitan syarikat rakaman, Universal Music Malaysia itu juga beberapa kali tertangguh kerana memberi laluan terhadap kes perceraian yang berlangsung sejak Mac lalu.
Dia akur, takdir Tuhan itu indah apabila semuanya terlestari saat hidup dalam fasa baharu.
“Lagu ini sudah dirakam sejak tahun lalu tetapi tak boleh dilancarkan sebab perlu menjaga sensitiviti (kes cerai berlangsung). Kalau ikutkan mungkin boleh meletup kalau lancarkan lagu masa itu, tetapi tidak sesuai,” tutupnya.















