fbpx
Hatun Bakar menjadi pendiam sejak anaknya, Allahyarham Sharipuddin (gambar kecil) meninggal dunia dalam tragedi Elmina pada 17 Ogos lalu.

Nahas Elmina: Keluarga gesa tamatkan spekulasi korban 10 mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ARAU – Waris mangsa tragedi pesawat terhempas hingga mengorbankan 10 individu pada 17 Ogos lalu menggesa kerajaan agar melakukan siasatan dengan adil supaya dapat menamatkan segala spekulasi yang timbul sejak nahas itu berlaku.

Perkara itu ditegaskan oleh keluarga Allahyarham Sharipuddin Shaari, 51, yang meminta mana-mana pihak supaya tidak menyembunyikan fakta dan bukti berkaitan nahas tersebut.

Kakak arwah, Ramlah, 57, berkata, keluarga masih tertanya-tanya apakah yang sebenarnya berlaku hingga mengorbankan mereka yang tidak menaiki pesawat berkenaan.

“Walaupun adik saya bukan penumpang pesawat, tetapi dia turut maut kerana berada di lokasi nahas.

“Saya harap kerajaan dapat buat yang terbaik untuk membantu waris mangsa bagi mendapatkan keadilan sewajarnya,” katanya ketika ditemui di Kampung Rani Estate di sini semalam.

Semalam Kosmo! melaporkan siasatan berhubung tragedi pesawat berkenaan memasuki episod baharu apabila pihak berkuasa berjaya mendapat rakaman suara kokpit (CVR) yang diekstrak oleh sebuah makmal di Florida, Amerika Syarikat.

Kejadian di Persiaran Elmina Shah Alam, Selangor pada pukul 2.48 petang. 17 Ogos lalu itu me­ngorbankan 10 individu terma­suk dua pengguna jalan raya yang melalui lokasi nahas.

Menurut Ramlah, dia turut berharap agar kerajaan tidak melupakan dan mempermudahkan bantuan kepada ibunya, Hatun Bakar, 82, yang tinggal bersendirian di kampung.

“Ibu masih trauma dan lebih banyak mendiamkan diri, kurang selera makan selain tidur tak nye­nyak sejak kematian arwah,” katanya.

Sementara itu di Bentong, bekas isteri Allahyarham Khairil Azwan Jamaluddin, Sabrina Su­banrio, 43, berharap segala spekulasi berkaitan nahas akan berakhir dengan adanya rakaman CVR tersebut.

Katanya, dia mahu perakam suara itu menjawab persoalan ke atas masalah yang menyebabkan tragedi itu.

“Dapatan daripada analisis itu akan dijadikan panduan bagi prosedur penerbangan pesawat bagi mengelakkan tragedi serupa.

“Ia telah menyebabkan ada anak kehilangan ayah dan kasih sayang, manakala isteri menjadi balu hingga hilang tempat bergantung,” kata ketua jururawat di sebuah hospital di Se­langor itu.

Menurut Sabrina, kerajaan perlu segera mengumumkan hasil analisis itu kerana rakyat tertunggu-tunggu jawapan bagi mengetahui punca di sebalik tragedi tersebut.

“Saya harap pihak berkuasa terus menyantuni dan membantu anak waris terutama berkaitan emosi, pendidikan dan ekonomi.

“Sepanjang perkahwinan, saya dan arwah Khairil Azwan, 43, mempunyai dua anak, Khairul Ikhwan 12 dan Khairul Harisin, 14,” katanya.

Khairil Azwan merupakan juruterbang kepada Exco Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun yang turut terkorban dalam nahas itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN