Anggun dan cukup memukau tatkala tiga pelakon muda, Ahirine, Puiyi dan Sanjna Suri mengenakan persalinan tradisional pada sesi fotografi khas sempena sambutan kemerdekaan negara ke-66 yang jatuh pada tanggal 31 Ogos hari ini.
Biarpun dipanah terik mentari di atas helipad DXN Cyberville, Cyberjaya yang menjadi lokasi fotografi, ketiga-tiga mereka tetap memberi gaya terbaik sementelah ini adalah salah satu cara penghargaan sebagai anak seni terhadap kemerdekaan negara tercinta.
Biarpun mereka bukanlah pasukan barisan hadapan negara, tetapi sebagai rakyat Malaysia Ahirine, Puiyi dan Sanjna tetap membawa nama Malaysia ke mana sahaja mereka pergi termasuklah dalam lapangan seni.
Menurut mereka bertiga, sejauh mana mereka pergi dan sehebat mana negara lain yang pernah dilawati, Malaysia tetap nombor satu, malahan tiada galang gantinya di hati masing-masing.
Filem ‘merdeka’
Ahirine Ahiruddin yang semakin menyerlah di arena perfileman sejak dua tahun lalu menzahirkan kesyukuran dilahirkan dalam masyarakat berbilang kaum yang bersatu padu.
Kata pelakon Remp-it 2 itu, ikatan antara semua anggota masyarakat hakikatnya kuat apabila bangku persekolahan menjadi gelanggang memupuk semangat persaudaraan.
“Inilah istimewanya Malaysia kerana ditunjangi penduduk berbilang bangsa yang hidup rukun dan damai, selain berkongsi budaya yang diharap keharmonian ini terus berkekalan,” kongsinya.
Mengimbau zaman kecil terutama ketika sambutan merdeka, aktres yang juga penulis dan pencinta sukan permotoran itu mengakui teruja setiap kali menonton perarakan meraikan hari merdeka.

Akui Ahirine, 27, bagai mendapat suntikan semangat luar biasa melihat suasana meriah sama ada ketika sambutan diraikan di Dataran Merdeka, Putrajaya atau di luar Wilayah Persekutuan.
“Sebenarnya hari kebangsaan sudah menjadi perayaan besar-besaran yang diraikan bersama, sekali gus membuktikan kemakmuran negara,” ujarnya.
Pada masa sama, kemerdekaan ke-66 juga memberi kegembiraan berganda buatnya apabila pada tarikh sama hari ini, filem lakonannya berjudul Tebus menemui penonton.
Menurut artis di bawah naungan WebTVAsia itu, naskhah arahan Jason Chong itu menonjolkan sisi berbeza dirinya yang sinonim dengan babak aksi apabila kali ini turut sarat adegan air mata.
“Ini antara filem paling sukar saya bawakan apabila perlu bermain dengan emosi hingga pernah dimarahi pengarah gara-gara tidak dapat memberikan apa yang diminta.
“Kami menjalani penggambaran filem ini selama lebih sebulan di Sarawak dan pada awalnya hampir setiap hari ditegur Jason, namun pengalaman sebegitu yang membuatkan saya bersemangat.
“Jadi saya tak sabar menunggu respons khalayak,” kongsinya mengenai filem aksi untuk tayangan platform penstriman Prime yang turut membariskan Azhan Rani, Aedy Ashraf, Idan Aedan dan Jay Iswazir sebagai pelakon.
Rumah kita
Sementara itu, Puiyi yang namanya mula dikenali sejak membintangi filem kontroversi Pulau mendedahkan, bulan kemerdekaan sangat istimewa buat dirinya.
Hal ini kerana, Puiyi atau nama sebenarnya, Siew Puiyi, 25, dilahirkan pada bulan kemerdekaan iaitu pada 1 Ogos.
“Setiap kali bulan Ogos akan ada dua sambutan besar buat diri saya iaitu ulang tahun kelahiran dan juga sambutan kemerdekaan negara Malaysia,” ujarnya.
Tambah Puiyi yang juga graduan ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Troy di Alabama, Amerika Syarikat, pengalaman belajar di luar negara membuka matanya bahawa dia cukup bertuah dilahirkan sebagai rakyat Malaysia.
“Malaysia cukup kaya dengan pelbagai budaya, rakyat yang bertolak-ansur dan sangat harmoni berbanding dengan negara lain.
“Walaupun sekarang kerjaya seni membawa saya ke luar negara, tetapi Malaysia tetap di hati kerana inilah tempat banyak memori tercipta daripada saya kecil sehingga dewasa.

“Jadi, merdeka bagi saya bukan sahaja satu momen bersejarah tetapi juga tanda penyatuan dan harmoni buat seluruh rakyat Malaysia. Secara peribadi merdeka menandakan, inilah rumah kita,” jelas Puiyi yang dilahirkan di Kuala Lumpur tetapi membesar di Pulau Pinang.
Berkongsi sedikit tentang perkembangan karier seninya, pada Oktober depan dia bakal muncul dengan sebuah single baharu yang diterbitkan bersama artis antarabangsa iaitu DJ Gammer dan Naeleck.
Kolaborasi julung kali bersama dua DJ terkenal itu akan membawa Puiyi ke Eropah selain kemunculan filem keduanya, KL Love Story yang dijangka ditayangkan di pawagam penghujung tahun ini.
“Tahun ini dan tahun hadapan fokus karier adalah ke Eropah untuk muzik sebagai penyanyi dan juga DJ.
Selepas itu, saya akan fokus terhadap bidang lakonan termasuk merancang untuk mengikuti kelas lakonan selama tiga bulan.
“Bagi saya untuk berjaya dalam sesuatu bidang saya harus ada ilmu. Peluang sudah diberikan, jadi saya harus buat yang terbaik.
“Saya tidak mahu orang melihat saya kerana imej seksi semata-mata, tetapi mahu membuktikan bahawa Puiyi lebih daripada itu dan mampu menjadi artis serba boleh,” katanya yang mula mengubah imej seksi kepada lebih sopan perlahan-lahan.
Malaysia unik
Dalam pada itu, menurut bekas ratu cantik Miss Supranational 2018, Sanjna Suri yang kini semakin menarik perhatian dalam dunia lakonan merasakan Malaysia sebuah negara yang cukup unik.
Berpengalaman mewakili Malaysia ke pentas antarabangsa sebagai ratu cantik, kata Sanjna, Malaysia sebuah negara yang sangat kaya bukan sahaja dengan budaya, tetapi pelbagai keistimewaan.
“Ramai rakyat Malaysia tidak sedar bahawa mereka sendiri dan negara kita cukup unik sehinggalah mereka tinggal atau pergi ke luar negara.
“Saya sendiri merasai pengalaman tersebut ketika bertanding sebagai ratu cantik. Malaysia sebenarnya sangat ‘mahal’ di mata orang luar. Kita boleh hidup harmoni dengan pelbagai kaum, sejarah dan agama.
Bukan semua orang bertuah seperti rakyat Malaysia,” tutur Sanjna.

Menyentuh tentang karier seninya, Sanjna yang mula dikenali dengan filem Pulau dan juga program Mega Spontan 2023 bersyukur kehadirannya dalam industri lakonan Melayu kian diterima ramai.
Melihat perkembangan kariernya, Sanjna merasakan pengorbanan yang dilakukan sehingga sanggup berhenti kerja sebagai ahli farmasi di sebuah hospital kerajaan demi mengejar impiannya dalam bidang seni adalah berbaloi.
“Saya tidak menyesal berhenti kerja sebagai ahli farmasi. Walaupun keluarga menentang pada permulaannya, tetapi saya nekad kerana tidak mahu menyesal kemudian hari.
“Bagi saya, kita harus berani mengambil risiko untuk mencapai impian. Tiada kejayaan datang dengan mudah, semuanya ada pengorbanan dan usaha tanpa henti. Pekerjaan sebagai pelakon membuatkan saya rasa gembira.
“Setakat ini saya sudah membintangi lima buah filem dan beberapa buah drama Melayu.
“Saya masih berusaha untuk memperbaiki mutu lakonan kerana saya tidak mahu dikenali kerana cantik dan pelakon yang kerap bawa watak perampas sahaja, tetapi seorang aktres versatil,” tutur graduan Ijazah Farmasi Universiti Cyberjaya, Selangor itu.














