fbpx

Nahas Elmina: Anwar sampaikan sumbangan peribadi waris mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Farhan menyampaikan sumbangan peribadi Anwar kepada bapa Allahyarham Muhammad Hafiz iaitu mangsa nahas pesawat ringan di Persiaran Elmina, Shah Alam baru-baru ini.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan peribadi kepada dua mangsa nahas pesawat ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Persiaran Elmina, Shah Alam.

Anwar berkata, sumbangan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi kepada waris keluarga penunggang P-hailing, Allahyarham Muhammad Hafiz Muhammad Salleh, 32, dan Allahyarham Shaharul Amir Omar, 49.

“Semalam Setiausaha Politik saya telah menziarahi saudara Salleh dan isteri (ibu bapa) yang merupakan waris kepada Allahyarham Muhammad Hafiz (penunggang P-Hailing) di Taman Sidam Kiri, Kedah yang terlibat dengan nahas pesawat di Elmina.

“Menurut bapanya, Allahyarham Muhammad Hafiz sepatutnya pulang untuk bersama meraikan perkahwinan adiknya dan kehilangannya ini pasti meninggalkan bekas yang mendalam kepada keluarga.

“Saudara Farhan turut bertemu waris Allahyarham Shaharul Amir, Puan Suhaila di Lumut, Perak. Allahyarham adalah ‘breadwinner’ (pencari nafkah) kepada keluarga dan meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Anwar mendoakan keluarga yang terlibat dikurniakan kecekalan serta kesabaran yang tinggi dalam menempuh ujian.

“Saya yakin ujian ini bukan sembarangan, malah besar kesannya kepada sanubari mereka yang terkesan.

“Semoga roh mangsa nahas kesemuanya diberikan tempat yang terbaik oleh Yang Maha Esa dan diampun segala dosa mereka, insya-Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI