fbpx

Dd Chronicle bukan PATI, lapor polis data peribadi bocor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dediy menunjukkan kad pengenalan dirinya kepada pemberita selepas selesai membuat laporan polis.

SUNGAI BULOH – Pempengaruh media sosial, Dd Chronicle membuat laporan polis apabila wujud pihak yang mendakwa dirinya adalah seorang pendatang tanpa izin (PATI) yang menyalah guna kad pengenalan biru di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sungai Buloh, di sini hari ini.

Dd Chronicle atau nama sebenarnya, Dediy Sulaeman Ra’e, 43, hari ini turut membuat laporan berhubung isu kebocoran data peribadinya di media sosial.

Dediy yang aktif menerbitkan parodi kreatif di laman sosial sebelum ini menyatakan sokongan secara terbuka kepada Perikatan Nasional semasa Pilihan Raya Negeri (PRN).

Jelasnya, dia tampil membuat laporan polis bagi menegakkkan kebenaran serta menyelar dakwaan dia adalah PATI yang memperolehi kad pengenalan biru secara salah.

“Saya adalah warga Malaysia, yang mengikut Perlembagaan boleh memilih dan mengundi calon yang diinginkan malah boleh berkempen seperti yang lain.

“Walaupun saya keturunan Indonesia namun saya lahir di sini. Jadi, saya berhak menentukan masa depan anak cucu saya,” katanya selepas membuat laporan di IPD Sungai Buloh pagi tadi.

Bagi menangkis fitnah jahat terhadapnya, Dediy memaklumkan dia telah mengemukakan kad pengenalan asal, sijil kelahiran asal, sijil-sijil persekolahan dan lain-lain kepada pihak polis bagi membuktikan kewarganegaraannya.

Wakil peguam, Asiah Abd Jalil berkata, pihaknya juga mengambil serius terhadap isu kebocoran data peribadi anak guamnya di media sosial yang dipercayai didedahkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Data peribadi seperti nombor kad pengenalan, alamat dan sebagainya telah tersebar luas di media sosial. Hasil semakan kami mendapati, data ini bocor daripada data pilihan raya SPR.

“Data peribadi milik anak guam saya telah diambil dan dimanipulasi termasuk melibatkan pendaftaran Skim Insurans Hayat Selangor (Insan) tanpa pengetahuannya.

“Perkara ini sangat serius di mana ia dari pada awalnya bermula dari buli siber sehingga melarat kepada isu keselamatan yang membahayakan anak guam serta keluarga,” tambahnya.

Mengulas lanjut laporan yang dibuat hari ini, Dediy bertindak sedemikian bagi melindungi serta menjaga ketenteraman keluarganya.

“Selepas laporan ini dibuat, saya harap pihak yang membuat hantaran berkenaan boleh padam kenyataan itu. Segala bukti saya dah tunjuk sebelum ini, namun mereka enggan mempercayainya,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI