fbpx

K2

Hukum tatu untuk perubatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HUKUM melukis tatu untuk perubatan adalah diharuskan dalam Islam. – Gambar hiasan

Apakah hukum bertatu untuk tujuan perubatan? Misalnya, bekas pesakit payudara yang dibuang puting dan melakukan ‘nipple tattooing’ untuk menyerupai bentuk dan warna puting payudara asli. Ia dengan tujuan dia akan berkahwin dan untuk suami supaya tiada rasa rendah diri.

JAWAPAN: Perkataan tatu berasal dari bahasa Tahiti yang bermaksud; “menandakan sesuatu”. Bahasa-bahasa Polinesia yang serumpun di Samoa, Tonga dan sebagainya turut mempunyai perkataan yang berbunyi hampir sama atau tepat dengan makna yang berpadanan. Misalnya Tatau yang merupakan akar kata bahasa Inggeris ‘”tattoo”. Makna ini berkait rapat dengan cara orang Samoa membuat tatu di badan mereka. Tetapi ini tidak menunjukkan bahawa bangsa Polinesia yang mempelopori tatu. Secara sejarahnya, tatu telah diamalkan hampir 5000 tahun sebelum Masihi.

Dari sudut sains, tatu adalah proses pigmen warna dicacah ke dalam lapisan kulit yang dalam dipanggil dermis. Lapisan di atas dermis iaitu epidermis adalah lapisan yang sering berganti-ganti, tetapi lapisan dermis adalah lebih tetap.

Dengan reaksi pencacahan tatu menggunakan jarum, maka tindak balas badan menyebabkan pigmen tersebut diperangkap oleh sel-sel dipanggil fibroblast (sel parut) di kawasan dermis dan menjadi stabil dengan warna kulit.

Persoalan yang diajukan ini adalah berkisar pada keputusan melakukan pembedahan plastik yang melibatkan nipple tattooing untuk membentuk dan mewarnakan kulit supaya menyerupai puting payudara secara 2-D atau 3-D.

Doktor yang pakar dalam pembedahan plastik atau kosmetik menetapkannya sebagai pembedahan yang dilakukan untuk memperbaiki penampilan bahagian-bahagian tertentu pada tubuh. Ini mungkin dilakukan dengan pilihan, atau kerana suatu keperluan.

Pembedahan plastik yang dianggap perlu adalah yang dilakukan apabila ada keperluannya, iaitu ketika sesuatu tidak kelihatan betul, atau sesuatu bahagian hilang. Jika ada sesuatu bahagian yang terlalu banyak atau terlalu sedikit, atau kerana sesuatu bahagian pada tubuh telah hancur atau cacat. Pada masa yang sama, pembedahan plastik juga dianggap sebagai pembedahan kosmetik kerana menghasilkan penampilan yang lebih baik.

Kecacatan mungkin berlaku pada dua keadaan: kecacatan fizikal yang berlaku sejak lahir dan kecacatan yang disebabkan oleh penyakit. Kecacatan fizikal yang berlaku sejak lahir termasuk bibir yang tidak normal, bibir sumbing, jari tangan atau kaki yang terpintal, dan lain-lain.

Kecacatan yang disebabkan oleh penyakit termasuk parut yang ditinggalkan oleh kanser atau penyakit kulit, atau parut luka yang disebabkan oleh kemalangan dan luka disebabkan kebakaran. Tidak dinafikan bahawa kecacatan dan bekas luka seperti itu menyebabkan kesakitan dan bahaya fizikal serta menimbulkan kesan psikologi yang mendalam kepada pesakit. Oleh itu Islam membenarkan orang yang mengalami penderitaan tersebut untuk membuang atau mengurangkannya dengan cara pembedahan.

Penderitaan yang dialami akan menyebabkan kesan pada jiwa dan psikologi yang memungkinkan pembedahan ini menjadi suatu yang darurat atau keperluan mendesak. Apabila wujud darurat atau keperluan mendesak maka keadaan ini mengharuskan sesuatu tindakan yang biasanya dilarang. Ia bersesuaian dengan kaedah fiqh;

Apa yang diharuskan kerana darurat itu diharuskan mengikut kadar daruratnya sahaja. (Rujuk al-Asybah wa al-Nazha’ir, hlm. 172 oleh Imam al-Suyuti).

Oleh yang demikian apa-apa keperluan pembedahan kosmetik yang berada di bawah keperluan ini berdasarkan fakta bahawa sebab pembedahan itu dilakukan adalah untuk mengurangkan risiko yang menyebabkan kemudaratan maka ia adalah dibenarkan sekadar keperluan sahaja, dan tidak dianggap mengubah ciptaan ALLAH.

Untuk lebih memahami perbezaan antara apa yang dibenarkan dan yang dilarang, kami akan memetik kata-kata Imam al-Nawawi dalam ulasannya mengenai hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas`ud RA:
“Sesungguhnya Nabi SAW melaknat wanita-wanita yang membuat tatu dan yang meminta ditatu, wanita-wanita yang mencukur alis, demi mencari keindahan dan mengubah ciptaan Allah.” Riwayat al-Tirmidhi (no. 2706). Beliau mengatakan hadis ini hasan sahih.

Imam al-Nawawi RA dalam menghuraikan hadis ini menyatakan bahawa; Wanita yang bertatu adalah wanita yang menggunakan jarum atau alat serupa untuk menusuk kulit tangan, pergelangan tangan, bibir atau bahagian lain dari tubuh wanita sehingga dia mengeluarkan darah, kemudian dia memasukkan pewarna ke dalam luka. Hukumnya adalah haram untuk melakukan perbuatan ini atau melakukannya dengan pilihan (sengaja melakukan untuk tujuan kecantikan). Begitu juga, mencabut atau mencukur rambut dari wajah (alis mata) juga haram, sama ada seseorang itu melakukannya sendiri atau meminta orang lain melakukannya untuknya, kecuali jika seorang wanita mempunyai janggut atau misai, dalam hal ini tidak haram untuk mencabutnya. (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 13/107).

Berkata Syeikh Dr. Soleh bin Muhammad al-Fauzan: “Diikat dengan perkataan “lil husn” dalam hadis tadi menunjukkan bahawa larangan itu bersifat khusus dengan apa yang jika dilakukan untuk mendapatkan kecantikan tambahan pada khilqah ma`hudah (ciptaan atau rupa paras yang standard). Jika dilakukan untuk merawat (suatu cela) atau kerana aib maka harus hukumnya, seperti mana yang telah disebut sebelum ini. Ini menunjukkan bahawa itu bukanlah bentuk perubahan yang diharamkan. Maka sabda baginda yang menyebut “lil husn” itu, huruf Lam itu adalah Lam Ta`lil (yang menunjukkan alasan pengharaman) yang mengecualikan larangan itu pada perkara yang melibatkan rawatan dan seumpama dengannya.” (Rujuk al-Jarahah al-Tajmiliyyah, hlm.73)

Berdasarkan kepada huraian di atas, jelaslah bahawa hukum pembedahan plastik yang melibatkan tatu untuk tujuan perubatan pada anggota-anggota badan adalah bergantung kepada keadaan;

Haram melukis tatu pada tubuh badan dengan tujuan menunjukkan kecantikan kepada lelaki asing, menggunakan bahan yang bernajis, atau berbahaya untuk kesihatan dan mengubah ciptaan Allah SWT.
Hukumnya menjadi harus jika bertujuan untuk mengembalikan kecantikan yang hilang, bukan akibat penuaan yang normal, tetapi berdasarkan pemakanan yang tidak sihat, penyakit, kemalangan, kecuaian menjaga kesihatan dan seumpamanya. Ini berdalilkan hadis sahabat Nabi SAW yang bernama Arfajah yang kehilangan hidungnya akibat peperangan lalu dibenarkan Rasulullah SAW untuk dipasang hidung buatan daripada emas.

Kesimpulannya, jika kecacatan yang dihadapi itu tidak disengajakan dan menyebabkan seseorang itu berasa malu serta rasa merendah diri, malah dia tidak melakukan operasi tersebut untuk tujuan menjadikan dirinya lebih cantik, tetapi hanya untuk menghilangkan atau mengurangkan kecacatan yang tidak disengajakan, maka tidak ada salahnya melakukannya dan hukumnya adalah harus, insya-Allah. Dan Allah maha mengetahui.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI