fbpx

‘Bapa ayam’ tua dijel sehari, denda RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka.

MELAKA – Seorang lelaki warga emas didenda RM10,000 dan dipenjara sehari oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menguruskan rumah pelacuran pada April lalu.

Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Lee Foo Seong, 60, yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah menolong dan menguruskan rumah persundalan di sebuah premis di Taman Malim dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 10 malam pada 5 April lalu.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 373(1)(a) dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan tertuduh telah insaf dan kini berkerja dalam bidang perkemasan di hotel milik abangnya dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari bagaimanapun memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran diberikan terhadap tertuduh.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari bermula tarikh sabitan hari ini serta denda RM10,000 atau 12 bulan penjara jika gagal membayar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI