fbpx

Jamaliah mahu buktikan potensi anak muda sebagai Exco Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jamaliah

KLANG – Peluang diberikan kepada anak muda sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Selangor menunjukkan kerajaan negeri menghargai potensi golongan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, ini adalah bukti Kerajaan Selangor membuka seluas-luasnya kepada anak muda untuk berkhidmat kepada negeri khususnya dan negara amnya.

Beliau yang Exco termuda dan wakil dari DAP menegaskan akan memberikan khidmat terbaik termasuk kepada para pengundi yang telah memilihnya bagi penggal kedua sebagai ADUN.

“Saya dapat merasakan progresifnya kerajaan negeri kerana membenarkan anak muda berkhidmat dengan posisi penting (sebagai Exco) tambahan umur saya baharu 34 tahun dan berada dalam kelompok muda.

“Sudah tentu akan sedaya upaya memberikan yang terbaik dan tidak mengecewakan pimpinan yang telah melantik saya,” katanya.

Terdahulu beliau antara tujuh muka baharu mengangkat sumpah sebagai Exco di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Templer, Anfaal Saari, 43, langsung tidak menyangka akan dilantik memandangkan kali pertama menjadi ADUN.

“Sudah tentu berasa berat dengan amanah ini namun akan usaha sebaik mungkin.

“Saya kira, titah Sultan Selangor itu adalah satu pesanan jujur yang perlu diingati seperti berintegriti, turun padang dan menyelesaikan masalah kos sara hidup,” katanya.

Sementara, Datuk Rizam Ismail (Sungai Tawar) yang merupakan satu-satunya Exco dari Barisan Nasional (BN) menegaskan akan menggunakan pengalaman sebagai Ketua Pembangkang dan Setiausaha Politik kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam memperkasakan kerajaan negeri Selangor termasuk dari segi pengurusan asetnya.

“Insya-Allah akan membawa perjuangan untuk rakyat dengan semangat kerajaan perpaduan harus diperjelaskan dengan naratif yang tepat kepada rakyat negeri ini.

“Tambahan, sekiranya pengalaman pentadbiran BN dan PH dalam memerintah kerajaan negeri digabungkan akan memberikan impak baik dengan pembinaan dasar-dasar lebih kukuh,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI