Peralihan kepada penerapan ciri-ciri kelestarian dengan menjadikan ruang pejabat nampak lebih moden, segar, terbuka dengan suasana yang lebih santai adalah trend terbaharu di pejabat moden bertujuan meningkatkan kualiti kerja warga kerjanya.
Perubahan itu bukan sahaja diterapkan di sektor swasta tetapi juga dalam kalangan pejabat milik syarikat berkaitan kerajaan.
Bagaimanapun dalam konsep keterbukaan itu, pastinya ruang privasi diperlukan untuk membolehkan kakitangannya mengadakan mesyuarat, pertemuan secara persendirian selain membuat panggilan penting secara privasi.
Sehubungan itu, Exsto Malaysia Sdn. Bhd. (Exsto), tampil dengan idea membangunkan Exstopod Plus, sebuah pod akustik pertama buatan anak tempatan yang dilengkapi penghawa dingin dan kemudahan lain untuk memenuhi keperluan tersebut.
Konsep mudah alihnya, menggunakan bahan kitar semula, berkualiti dan selamat itu bukan saja dipasang di pejabat tetapi juga dipasang di lokasi tumpuan awam khususnya di pusat beli-belah.
“Projek ini bermula pada tahun 2017 dan sekarang ia telah ditambah baik secara berperingkat dan ia kini dipasang penghawa dingin.
“Kami jangkakan jualan pada tahun depan akan bertambah lebih baik dan pulangan projek ini bakal dimanfaat dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” jelas Pengarah Urusannya, TS Yong dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh jelaskan lebih lanjut mengenai pod privasi yang kini menjadi trend terbaharu di Malaysia?
TS Yong: Exstopod Plus adalah pod privasi akustik pertama buatan syarikat tempatan yang dibina daripada bahan kitar semula jadi dilengkapi dengan penghawa dingin untuk memberi keselesaan kepada penggunanya.
Konsep penggunaan pod ini masih baharu di negara ini tetapi saya berkeyakinan ia berpotensi dan bakal menawarkan peluang perniagaan baik pada masa depan.
Bagaimana mulanya syarikat terlibat dalam pembangunan pod privasi ini?
Projek ini bermula pada tahun 2017 dan kami ambil masa lebih daripada dua tahun untuk lakukan kajian dan pembangunan (R&D).
Pod ini diperlukan kerana ada individu yang mahu membuat panggilan penting secara privasi jadi mereka perlukan ruang dan apabila pandemik melanda, banyak mesyuarat dan pertemuan dibuat secara online.
Jadi pod ini makin popular dan ia dapat memenuhi permintaan ketika itu. Selain itu, memandangkan trend pejabat telah diubah suai menjadi ruang terbuka yang memberi keselesaan kepada kakitangannya maka ruang privasi diperlukan untuk mereka membuat mesyuarat atau membuat panggilan penting secara privasi.
Boleh jelaskan ciri-ciri yang terdapat pada pod ini?
Ia mudah alih dan mudah dipasang semula jika sesebuah syarikat itu berpindah ke premis lain. Ia juga dibuat daripada bahan kitar semula seperti gentian karbon yang boleh menyerap sehingga 80 peratus bunyi. S
elain itu, karpet dan siling di pod ini juga boleh menyerap bunyi serta bau-bauan.
Ia lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti plug in, untuk mengecas gajet dan telefon pintar atau komputer riba, perkakas berlesen Smart Video Conferencing seperti zoom, microsoft Teams dan platform lain.
Anggaplah ia sebagai ofis mini. Ia juga dilengkapi dengan sistem pintu berkunci secara automatik dengan hanya menggunakan sistem QR, selain dilengkapi sistem tempahan lengkap dengan platform gerbang pembayaran yang cekap.
Bagaimanapun pelanggan tidak dibenarkan untuk makan dan minum serta merokok
di dalam pod.

Berapa jenis pod pintar yang ditawarkan kepada pelanggan?
Ada pod single untuk digunakan oleh seorang pelanggan, terdapat juga pod untuk empat hingga enam orang dan juga 12 orang, tetapi jualan banyak melibatkan jenis pod untuk empat hingga enam orang.
Siapakah pelanggan syarikat?
Sektor kerajaan kira-kira 30 peratus dan lain-lain adalah daripada sektor swasta.
Kami juga membekalkan pod privasi kepada institusi perbankan dan juga di pusat beli-belah. Buat masa ini kami ada empat projek di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan sebuah pod masing-masing terletak di pusat beli belah One Utama dan IOI Mall Putrajaya dan juga di Selayang Mall. Sambutan amat menggalakkan untuk projek pod kami di One Utama Putrajaya.
Boleh jelaskan peranan pod di pusat beli-belah?
Ia selalunya disewa oleh mereka yang mahu membuat pertemuan secara privasi dengan pelanggan di lokasi strategik kerana mudah mereka membuat temujanji.
Ada juga yang menyewa untuk membolehkan ahli keluarga mereka seperti suami dan anak-anak berehat sementara isteri membeli-belah, ada juga menggunakan pod tersebut untuk memberi kemudahan kepada ahli keluarga lain berehat dengan selesa.
Terdapat juga sofa di dalamnya bagi memberi keselesaan kepada anak kecil tidur tetapi mereka tidak dibenarkan makan dan minum di situ.
Ada juga pengusaha pusat tuisyen yang pandai mengambil peluang dengan menyewa pod tersebut untuk dijadikan kelas tuisyen kepada pelajarnya kerana ia mudah diakses oleh pelajar tersebut.

Berapakah bayaran sewa pod tersebut dan berapa pula harga jualan sebuah pod?
Ia antara RM20 hingga RM30 sejam dan kadar tersebut berpatutan jika mereka mahu menyewa ruang pejabat, hotel atau premis lain untuk melakukan aktiviti yang privasi di tempat awam.
Bagi mana-mana pelanggan yang mahu membeli sebuah pod pula, ia bergantung kepada jenis yang boleh mengisi antara seorang atau empat hingga enam orang. Harganya adalah antara RM20,000 hingga RM100,000 sebuah.
Berapa sasaran jualan syarikat tahun ini?
Tahun ini sasaran kami adalah 900 unit pod tetapi tahun lalu kami dapat menjual sebanyak 1,200 pod. Kami ada kilang di Banting dan di situlah kami akan buat pemasangan pod. -KOSMO!ONLINE














