fbpx
MAYAT Allahyarham Idris (gambar kecil) disahkan oleh isterinya sendiri berdasarkan susuk tubuh dan pakaian yang masih melekat pada tubuh arwah.

Nahas Elmina: Jasad Idris sempurna, rambut tak terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BENTONG – Jasad salah seorang mangsa yang terkorban dalam tragedi pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam pada Khamis lalu dikatakan masih sempurna dan tidak terjejas teruk sehingga memudahkan proses pengecaman oleh waris.

Jenazah Idris Abdol Talib @ Ramali, 41, yang merupakan salah seorang penumpang pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) itu ditemui dengan hanya kemeja yang dipakainya hangus, manakala singlet dan seluar masih melekap pada badan.

Jenazah Ketua Unit Penguat Kuasa Agama Pejabat Agama Islam Raub itu telah disahkan oleh isterinya, Adlina Aishah Ahmad Rusli di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang kelmarin.

Abang ipar arwah, Ahmad Fariz Ahmad Rusli, 57, berkata, mayat mangsa disahkan oleh isterinya sendiri berdasarkan susuk tubuh dan pakaian yang masih melekat pada tubuh arwah.

Katanya, adiknya iaitu Adlina Aishah juga turut memberi kete­rangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan mengenai pengecaman yang dilakukan.

“Adik saya memaklumkan semalam (kelmarin) dia melihat keadaan jenazah masih lagi sempurna dengan hanya patah bahagian kaki dan kecederaan di punggung.

“Baju singlet yang dipakai mang­sa masih melekap pada badan, hanya kemeja yang terbakar, malah kemeja masih ada pada bahagian tangan begitu juga seluar yang dipakai arwah,” katanya kepada Kosmo! Ahad ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, isteri mangsa yang membuat pengecaman di hospital turut memaklumkan bahawa rambut mangsa masih elok dan tidak terbakar.

Mengulas lanjut, Ahmad Fariz memberitahu sokongan semua adik-beradik dan juga saudaramara serta rakan-rakan telah membantu isteri arwah dalam menghadapi dugaan besar itu.

Katanya, selepas mendapat pelepasan pihak berkuasa, jena­zah Idris akan dibawa ke Bentong untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Barak di Benus.

Idris yang berasal dari Bentong meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak berusia 14 dan 10 tahun serta bongsu ber­usia tiga bulan.

GAMBAR kenangan Allahyarham Idris bersama isteri (tengah) dan dua anaknya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff ketika melawat ke kediaman keluarga arwah di Taman Ketari di sini turut berkongsi kisah sama mengenai jasad arwah yang masih dalam keada­an sempurna.

Menurut perkongsian Siti Zailah di media sosialnya, beliau dimaklumkan bahawa hanya pakaian arwah yang juga seorang hafiz al-Quran terbakar, manakala jasadnya dalam ke­adaan baik.

“Al-Fatihah. Baru sahaja selesai menziarahi keluarga beliau di Taman Ketari, Bentong, Pahang. Terharu dapat makluman dari keluarga arwah bahawa jasad arwah tidak hangus terbakar, hanya pakaian yang terbakar.

“Allahu Akbar. Almarhum Ustaz Idris adalah merupakan seorang hafiz al-Quran. Semoga semua roh para arwah bersama para solihin dan ditempatkan di syurga yang tertinggi,” tulisnya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang Khamis lalu, seramai 10 mangsa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun terkorban selepas pesawat ringan jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Elmina, Shah Alam.

Mangsa yang maut dalam kejadian itu terdiri daripada enam penumpang pesawat, juruterbang, pembantu juruterbang, pemandu kereta dan penunggang motosikal.

Ketika kejadian, jet persendirian tersebut dalam perjalanan dari Langkawi dan sedang menghampiri Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang Jaya di Selangor. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN