fbpx
Gambar hiasan

Jadi ibu dan bapa itu pilihan, jaga anak satu kewajipan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MINGGU ini tular di laman sosial mengenai kejadian kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang menjadi mangsa dera dipercayai perbuatan ibunya sendiri.

Jika dilihat ruangan komen dilontar orang ramai pada video terbabit, rata-rata rakyat Malaysia mengecam tindakan kejam itu dengan ada daripadanya menyifatkan segelintir individu hanya pandai ‘membuat anak’, tetapi gagal untuk menjaganya.

Dalam konteks menjadi seorang ibu atau bapa, golongan itu seharusnya mengambil tanggungjawab melindungi anugerah diberikan meskipun beban tugas mendidik dan menjaga anak bukanlah sesuatu yang mudah.

Menurut Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow, keputusan bergelar ibu bapa merupakan pilihan individu itu sendiri kerana mereka berperanan membawa insan bergelar ‘anak’ untuk melihat ­dunia.

“Jadi, mereka tidak boleh hanya sekadar lahirkan anak tanpa menjaga dan melindunginya.

“Oleh itu, sama ada suka ataupun tidak, mereka harus pikul segala beban tugas dan tanggungjawab.

“Tugas menjaga dan melin­dungi anak juga bukan sahaja satu bentuk tanggungjawab moral, malah ia jelas termaktub dalam peruntukan undang undang antarabangsa serta Perlembagaan Malaysia,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Sebagai rekod, komuniti antarabangsa telah bersepakat mewujudkan satu bentuk konvensyen khusus menjaga dan melindungi golongan kanak-kanak kanak di seluruh dunia yang diberi nama Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak 1989.

Konvensyen antarabangsa terbabit telah diterima dengan rasminya oleh Perhimpunan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 20 November 1989.

Susulan itu, konvensyen antarabangsa itu telah dikuatkuasakan pada 2 September 1990 selepas 30 hari ia diiktiraf oleh 20 negara.

Kerajaan Malaysia turut menandatangani konvensyen antarabangsa itu pada 28 Disember 1994 di mana ia menghuraikan segala bentuk keperluan golo­ngan kanak-kanak yang bera­singan daripada keperluan orang dewasa termasuk usaha melin­dungi mereka.

Di Malaysia pula, negara kita sudah pun memiliki sebuah akta khusus bagi menjaga serta melindungi golongan kanak-kanak iaitu Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

Sehubungan itu Muzaffar berkata, semua pihak khususnya ibu bapa perlu mengambil serius terhadap perkara itu serta bertindak sewajarnya untuk menjaga serta melindungi anak-anak mereka.

“Tindakan undang-undang juga perlu diambil terhadap mana-mana ibu pada atau penjaga yang cuai atau gagal melindungi anak-anak mereka,” jelasnya.

Katanya, undang-undang berkenaan juga perlu didedahkan secara terperinci kepada pasangan yang bakal melangsungkan perkahwinan agar mengetahui tentang hukuman yang bakal dikenakan sekiranya gagal melindungi anak-anak.

Kesimpulannya, anak-anak merupakan anugerah dan ama­nah daripada Sang Pencipta di mana mereka perlu dibesarkan dengan penuh kasih sayang selain dididik dengan ilmu dan pengetahuan agama untuk menjadi insan berguna.

Kegagalan ibu bapa mendidik dan melindungi anak-anak mungkin bakal memberi kesan trauma kepada golongan itu dalam jangka masa panjang, seterusnya menjauhkan anak-anak dengan penjaganya sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN