fbpx

Permohonan gugur Najib ditolak, Hakim Collin kekal dengar bicara 1MDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam permohonannya untuk menggugurkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah daripada mendengar perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Hakim Collin memutuskan demikian selepas mendengar hujah daripada peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib selaku pemohon dan Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar selaku responden dalam permohonan itu, sebelum ini.

Dalam penghakiman ringkasnya ketika menolak permohonan itu, hakim Collin berkata, pemohon gagal menunjukkan situasi berat sebelah (danger of bias) seperti yang didakwa selain hakim itu juga tidak lagi berkomunikasi dengan peguam 1MDB iaitu Jasmine Loo Ai Swan sejak 15 tahun lalu.

Dalam prosiding bulan lalu, hakim itu mendedahkan bahawa beliau pernah berkhidmat dengan Jasmine yang kini dalam tahanan polis.

Menurut Collin, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan berkata, sepanjang tempoh berkhidmat dengan Tetuan Zain & Co. bersama Jasmine, beliau tidak pernah menangani isu 1MDB, begitu juga dengan firma guaman tersebut pada masa berkenaan.

Sebelum ini, Muhammad Shafee berhujah bahawa memandangkan hakim Collin pernah bertugas dengan Jasmine, perkara itu boleh menghalang hakim tersebut daripada bertindak sebagai pemerhati yang adil dan berfikiran bebas ketika mendengar keterangan wanita itu jika beliau dipanggil menjadi saksi.

Muhammad Shafee ketika berhujah lanjut juga berkata, hakim itu perlu memutuskan isu kebolehpercayaan Jasmine kerana beliau memainkan peranan yang penting (dalam 1MDB) dengan mengikut arahan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, iaitu ‘untuk menghalalkan perkara yang haram’.

Beliau berkata, dalam situasi itu, hakim tersebut akan berada dalam ‘kedudukan yang sukar’ untuk memutuskan sama ada Jasmine perlu didakwa kerana memberikan keterangan bercanggah.

“Keputusan itu akan menimbulkan konflik dan memalukan Yang Amat Arif kerana hubungan Yang Amat Arif dengannya sebagai bekas rakan kongsi (di firma guaman itu),” katanya.

Sementara itu, ketika membantah permohonan Najib, Kamal Baharin pula berhujah adalah jelas bahawa Jasmine telah meninggalkan firma guaman terbabit pada 31 Disember 2008, manakala hakim itu terus berkhidmat di situ sehingga beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 20 Jun 2014.

“Tiada perkaitan antara isu dalam perbicaraan ini dengan hubungan masa lalu Yang Amat Arif dan bekas rakan kongsinya di firma guaman dan kami berhujah Yang Amat Arif sebenarnya tidak perlu mendedahkan hubungan ini kerana ia boleh didapati daripada rekod awam,” katanya.

Pada 12 Julai lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa Jasmine telah ditahan polis pada 7 Julai bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana 1MDB.

Mengikut pertuduhan Najib, 70, yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI