fbpx

Najib diberi peluang beri penjelasan ketika disiasat SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, baru-baru ini. Foto oleh FARIS RUSADIO/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah diberi peluang seluasnya untuk memberi sebarang penjelasan sewaktu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-49, Nur Aida Arifin menjelaskan demikian di Mahkamah Tinggi sini hari ini bagi menjawab soalan dibangkitkan peguam Najib, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berhubung dakwaan SPRM tidak pernah meminta tertuduh menjelaskan mengenai satu emel berkaitan
mesyuarat firma audit KPMG Malaysia kepada Najib.

Peguam itu mendakwa oleh kerana SPRM tidak bertanya kepada Najib semasa siasatan mengenai salah satu emel telah menyebabkan tertuduh tidak dapat memberikan jawapan.

Sebelum ini, mahkamah dimaklumkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low pernah menghantar emel kepada pengurusan 1MDB pada Disember 2013 untuk memberikan pandangan kepada Najib sebelum mengadakan pertemuan dengan rakan pengurusan KPMG Malaysia, Datuk Johan Idris.

Tambah Nur Aida lagi, pihaknya menerima beribu-ribu dokumen ketika menyoal siasat Najib pada 2018.

Walaupun dia mengakui SPRM mungkin tidak bertanya kepada Najib mengenai emel berkenaan, namun suruhanjaya itu bergantung kepada kenyataan direkodkan daripada saksi lain yang mendakwa bekas Perdana Menteri itu tahu mengenai emel berkenaan.

Dia menambah semasa soal siasat pada 2018, Najib diberi peluang yang luas untuk memberi penjelasan mengenai apa yang berlaku dalam 1MDB.

Nur Aida bagaimanapun menjelaskan, beliau mungkin terlepas pandang untuk bertanyakan kepada pegawai perakam mengenai dokumen berkenaan atau tidak sempat bertanya kepada Najib kerana terlalu banyak dokumen yang diterima pihaknya.

“Walau apa pun, saksi lain dalam kes ini sudah mengesahkan perkara itu. Menurut saksi, Najib tahu mengenai apa yang dibincang dalam mesyuarat berkenaan.

“Najib juga diberi peluang untuk membela diri dan menjelaskan jika beliau hendak menambah apa-apa ketika soal siasat dijalankan,” katanya.

Sebelum ini, mahkamah pernah diberitahu Jho Low pernah menghantar emel kepada pengurusan 1MDB pada Disember 2013.

Johan yang merupakan saksi pendakwaan ke-14 dalam keterangannya berkata Najib semasa mesyuarat di rumahnya pada Disember 2013 telah menakut-nakutkan firma audit untuk menandatangani laporan audit bagi 1MDB.

Khidmat firma audit KPMG kemudiannya ditamatkan dan firma audit Deloitte dibawa masuk untuk menjalankan audit terhadap dana kekayaan negara Malaysia yang bermasalah itu.

Mahkamah juga mendengar keterangan saksi berhubung dakwaan pertemuan pada 28 Nov 2013, di mana Najib bersama Jho Low dan beberapa ahli lembaga dan pengurusan 1MDB membincangkan mengenai emel berkenaan, yang membawa kepada pertemuan bekas Perdana Menteri itu dengan KPMG pada bulan berikutnya.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pada 25 Mei ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI